Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Anuar Musa menegur agensi media yang didakwa tersilap lapor berhubung penswastaan pasukan bola sepak Kelantan.

Katanya, laporan yang menyatakan bahawa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mahu diswastakan adalah satu perkara yang salah.

Menjelaskan kekeliruan isu penswastaan itu, Penasihat KAFA itu menegaskan, badan induk berkenaan adalah sebuah organisasi yang tidak boleh diswastakan.

“Tadi saya dengar KAFA nak diswastakan..saya rasa media silap lapor..KAFA sebagai persatuan di bawah ROS tidak boleh diswastakan.

“Di bawah KAFA bukan saja ada TRW (The Red Warriors tapi ada The President Warriors (TPW). The Young Warriors (TYW), pasukan futsal, pasukan bola wanita (TRW) dan lain-lain lagi.

“Yang mungkin dimaksudkan (media) ialah menswastakan pasukan Kelantan, itu saya sokong. Serahlah TRW biar jadi milik penyokong Kelantan dan biar penyokong membeli saham dalam pasukan,” tulisnya di Facebook.

Dalam pada itu Annuar turut mencadangkan supaya diwujudkan 100,000 unit saham dengan membahagikan 30,000 unit kepada penyokong dan baki 70,000 kepada syarikat korporat atau individu yang mahu membeli secara blok.

Katanya, usaha itu boleh dibuat dengan khidmat sebuah syarikat akauntan yang bertauliah dengan menawarkan tawaran yang profesional.

“(Dengan usaha ini) TRW akan muncul pasukan (negeri) pertama dimiliki penyokong sendiri dan saya rasa itu boleh (buat) kerana Kelantan ada ramai penyokong,” ujarnya. – MalaysiaGazette