Salah satu pasukan yang menyertai Fiesta Bubur Lambuk anjuran GCE.

KUALA LUMPUR – Masjid Jamek Al-Hikmah Kuang telah dipilih sebagai pemenang tempat pertama dalam pertandungan memasak bubur lambuk anjuran Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

Dengan kemenangan itu, masjid tersebut membawa pulang wang tunai bernilai RM1,500.

Pertandingan itu diadakan sempena Fiesta Bubur Lambuk yang diadakan di Kawasan Rehat dan Rawat Elmina sempena menyambut bulan Ramadan.

Sebahagian daripada peserta pertandingan memasak bubur lambuk bergambar kenangan bersama Khairul Nizam Baharudin (berbaju oren), Serina Redzuawan (berbaju merah) dan Azrul Raja Lawak (berbaju kemeja).

Sebanyak tujuh buah masjid dan surau di sekitar GCE telah menyertai acara pertandingan memasak bubur lambuk. Setiap kumpulan yang menyertai telah menunjukkan kepakaran dan kreativiti masing-masing dalam penyediaan
bubur lambuk.

Tempat kedua dimenangi oleh Surau Nurul Iman Bukit Subang yang menerima wang tunai RM1,100 dan tempat ketiga Surau Kampung Setia Kuang dengan wang tunai RM700.

Masjid Jamek Al-Hikmah juga turut diumumkan sebagai pemenang kategori hiasan paling kreatif.

Kesemua bubur lambuk yang dihasilkan telah diagihkan kepada orang ramai dan tiga rumah anak yatim iaitu Rumah Kasih Harmoni, Kampung Paya Jaras Dalam, Sungai Buloh, Rumah Amal Al-Firdaus Denai Alam dan Persatuan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai Kuang.

“Ini merupakan kali pertama acara ini dianjurkan bertujuan untuk memeriahkan
sambutan ketibaan bulan Ramadan dan untuk mengeratkan silaturahim di antara GCE dengan masyarakat setempat,” Khairul Nizam Baharuddin, Pengurus Besar, Prolintas Expressway Sdn Bhd. – MalaysiaGazette