Senator Datuk Sim Kui Hian (dua kiri), Senator Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (dua kanan), Senator Datuk Bashir Alias (kanan) dan Senator Zahari Sarip bergambar kenangan semasa Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Dua muka baharu daripada empat orang yang dipilih mengangkat sumpah mereka sebagai Ahli Dewan Negara bagi sesi 2017 di Bangunan Parlimen pagi ini.

Dua muka baharu tersebut adalah Senator Datuk Bashir Alias yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Senator Zahari Sarip yang dipilih oleh Dewan Negeri Johor.

Upacara berkenaan dilakukan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri SA. Vigneswaran.

Bashir merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan Zahari pula adalah Pegawai Khas kepada Menteri Kesihatan.

Sementara itu, dua Ahli Dewan Negara yang dilantik semula adalah Datuk Dr. Sim Kui Hian dan Datuk Asraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Vigneswaran dalam ucapan aluannya, berharap supaya sumbangan setiap anggota Dewan Negara dapat diterjemahkan bukan sahaja melalui perbahasan yang aktif dalam dewan, tetapi patuh kepada ikrar taat setia kepada negara berdasarkan prinsip Rukun Negara.

“Tingkah laku adab sopan dan adab rasional penting ditonjolkan model contoh amalan terpuji,” katanya. – MalaysiaGazette