NEW DELHI – India merancang mengadakan kerjasama dengan Malaysia untuk membangunkan semula 20 buah stesen keretapi di bandar-bandar ‘peringkat II’ di negara itu, lapor The Times of India.

Bandar peringkat II adalah bandar yang lebih kecil yang pada kebiasaannya adalah hab serantau seperti ibu negeri dan pusat industri.

Ia juga melibatkan pembangunan kawasan komersial stesen antaranya membina hotel, restoran, pusat beli-belah dan kompleks pejabat bagi kegunaan para pemaju untuk tempoh 45 tahun.

Bagi pembanguan bandar-bandar ‘peringkat II’, kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan menyediakan sokongan untuk merubah bandar yang tidak berapa besar ini menjadi destinasi perniagaan dan berkembang dengan pantas.

Bandar-bandar seperti Delhi dan Mumbai yang dikategorikan sebagai bandar ‘peringkat I’ manakala bandar seperti Faridabad, Cuttack, Amritsar, Jamshedpur, Kochi, Jammu, dan Bikaner disenarai bandar ‘peringkat II’.

Jalinan kerjasama jangka panjang dengan Malaysia yang menawarkan 20 buah stesen di tenggara negara itu akan dilakukan menerusi konsep kerajaan dengan kerajaan, kata seorang pegawai kanan Kementerian Keretapi.

Industri keretapi India telahpun melancarkan projek pembangunan semula stesen yang membabitkan kira-kira 400 buah stesen dengan jangkaan pelaburan swasta sebanyak Rs 1 lakh crore.

Fasa pertama melibatkan 23 buah stesen keretapi, antaranya membabitkan stesen Howrah, Mumbai, Chennai dengan menyasarkan penggunaan sebaik mungkin aset-aset di stesen itu.

Satu mesyuarat telah diadakan baru-baru ini dengan para pegawai Malaysia yang mana mereka menunjukkan minat terhadap projek pembangunan semula stesen itu.

Ketika Malaysia menyertai proses bidaan untuk 23 buah stesen, pihak berkuasa keretapi mempertimbangkan untuk menawar 20 buah stesen secara berasingan membabitkan pelaburan sebanyak Rs10,000 crore berdasarkan kepada kerjasama kerajaan dengan kerajaan, tambah pegawai tersebut.

Skim kerjasama jangka panjang pada projek pembangunan semula stesen dengan Malaysia itu dijangka dilancarkan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Stesen lain yang akan dinaiktaraf pada fasa pertama ialah Pune, Thane, Visakhapatnam, Kamakhya, Jammu Tawi, Udaipur City, Secunderabad, Vijaywada, Ranchi, Kozhikode, Yesvantpur, Bangalore Cantt, Bhopal, Bandra Terminus, Borivali dan Indore.

Stesen Bhopal telahpun dianugerahkan kepada pemaju untuk pembangunan semula.

Menteri Keretapi, Suresh Prabhu akan melancarkan kerja-kerja pembanguan semula itu yang membabitkan pembinaan hotel, hospital, tempat letak kereta, pejabat dan restoran dengan kos sebanyak Rs450 crore.

Pemaju diberikan hak untuk mengeksploisi tanah untuk tempoh 45 tahun manakala pemilikan tanah kekal di bawah pihak berkuasa keretapi. – MalaysiaGazette