KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol sehingga 30 peratus pada cuti perayaan Aidilfitri yang akan datang.

“Rebat tol 30 peratus tersebut ditawarkan sepanjang hari selama enam hari iaitu 19 hingga 21 Jun, 28 hingga 29 Jun dan 3 Julai.

Ia merupakan sebahagian daripada langkah PLUS untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan dan pada masa yang sama menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan lebuhraya PLUS,” kata Pengarah Urusan, Datuk Azman Ismail.

“Ia juga bertepatan dengan pelaksanaan transaksi tol 100 peratus elektronik yang telah dilaksanakan di semua lebuh raya kendalian syarikat ini sejak 26 April lalu,” tambah beliau.

Sementara itu, pengguna kad Touch ‘n Go pula berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 10 peratus pada tarikh-tarikh tersebut.

“Penawaran rebat 30 peratus untuk transaksi menerusi kad PLUSMiles adalah untuk menghargai kesetiaan dan sokongan pemegang kad PLUSMiles. Manakala, rebat 10 peratus tersebut diberikan untuk semua transaksi elektronik lain di lebuh raya PLUS,” jelas Azman.

Rebat tol pada kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 melebihi 100 kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di semua lebuhraya kendalian PLUS.

Ia ditawarkan sepanjang hari pada tarikh-tarikh tersebut.

Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa.

Rebat tol 30 peratus dan 10 peratus tersebut akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go (dalam bentukTambah Nilai) apabila orang ramai menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Julai hingga 14 Oktober yang akan datang.

Rebat ini tidak meliputi transaksi tol di plaza tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.  – MalaysiaGazette