Anak kapal yang diselamatkan - gambar APMM

PUTRAJAYA – Sebuah kapal kontena dari Indonesia KM Avatar karam di Selat Melaka dipercayai akibat dipukul ombak kuat dengan dua krunya iaitu kapten kapal dan tukang masak dilapor hilang.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Laut pada pukul 9.25 pagi dengaan sebuah bot penyelamat dan helikopter dihantar ke lokasi kejadian pada pukul 10 pagi.

Beliau berkata 13 daripada anak kapal diselamatkan sebuah kapal dagang Undine yang melalui lokasi kejadian iaitu kira-kira 11 batu nautika dari Tanjung Kling, Melaka.

Katanya ketika APMM menerima laporan, kapal bersaiz sederhana sepanjang 57 meter itu telah separuh tenggelam dan kemudian karam sepenuhnya akibat gelombang kuat.

“Ketika ini operasi mencari dan menyelamat dua lagi kru kapal yang hilang masih berjalan. Kita juga meminta bantuan dari agensi lain untuk operasi ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zulkifli berkata kesemua 13 anak kapal yang selamat masih berada di dalam kapal dagang Undine tersebut.

Mengenai punca kejadian, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan dan tidak menolak kemungkinan ia berlaku akibat cuaca buruk dan ombak kuat.

— BERNAMA