Yang Dipertua Mubarak Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar bercakap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Mubarak Selangor di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 14 JUN 2017
SHAH ALAMLebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor menjadi kawasan tumpuan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor dalam memastikan Barisan Nasional menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Abu Hassan Omar berkata, pihaknya ditugaskan untuk membantu BN menjaga pengundi-pengundi di kawasan tumpuan ini yang berpotensi beralih arah susulan ketidakstabilan kerajaan Pakatan di Selangor.
“Kita ada 43 DUN tumpuan. Ini apa yang BN putuskan, kita (Mubarak) akan bantu.
“Kita bantu di DUN-DUN tumpuan dan jug membantu di parlimen-parlimen tumpuan, iaitu 13 daripada 22 kerusi parlimen pada masa ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Mubarak Selangor di Bangunan Umno Selangor, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 24 ahli bersekutu, terdiri daripada balu-balu bekas wakil rakyat BN di Selangor menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri sebagai satu penghargaaan kepada jasa mereka.
Mengulas lanjut, Abu Hassan juga yakin BN bakal menang besar dalam PRU14 akan datang susulan keyakinan rakyat kian merosot susulan perpecahan dalam kerajaan Pakatan antara PKR dan Pas.
“Saya sangat yakin (berdasarkan keadaan politik semasa di Selangor), selepas dua penggal, terdapat pergolakan dalam kerajaan sedia ada, hampir setiap hari timbul pelbagai isu khususnya isu perumahan, dan infrastruktur.
“Pergelutan dalaman politik, di mana wakil PKR di Kelantan sepatutnya keluar dari badan kerajaan negeri, tapi di Selangor, PKR mahu wakil Pas kekal. Ini menunjukkan wujudnya sikap double standard dalam pentadbiran PKR dan hubungan mereka dengan Pas,” katanya.
Beliau berkata, PRU14 merupakan medan terbaik kepada pengundi-pengundi untuk keluar daripada kemelut politik pakatan pembangkang di Selangor.
“Sebab itu kita mahu majoirit (undi) yang baik di mana BN boleh bentuk kerajaan negeri dengan yakin dan bawa mereka keluar daripada kemelut yang berlaku sepanjang dua penggal ini.
“PRU14 adalah masa yang terbaik untuk berbuat demikian,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.