Iszuree Ibrahim

KUALA LUMPUR – Jawapan sambil lewa Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu kegiatan perjudian di Pulau Pinang menunjukkan beliau cuba cuci tangan dan memberi gambaran seolah tidak ada kaitan langsung dengan kuasa kerajaan negeri.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim menyifatkan, sikap jengkel itu sebenarnya cuba menyembunyikan perolehan mewah yang diraih dari bertambahnya kegiatan itu.

“Ini sebagaimana banyaknya kegiatan itu berselindung di premis perniagaan di Pulau Pinang.

“Apakah sinikal Guan Eng kepada Pas sebenarnya untuk menutup kesungguhan beliau memayungi aktiviti yang menyumbang kepada hasil negeri di bawah tadbirnya?

“Beliau seakan melindungi kegusaran dari isu yang dibangkitkan itu,” kata beliau dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Iszuree, kegiatan perjudian di Pulau Pinang menunjukkan ikatan atau persekongkolan DAP dan Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa, kerajaan DAP Pulau Pinang turut menyediakan premis untuk menyempurnakan lesen judi yang diberi Kerajaan Persekutuan hingga kegiatan itu dapat dijalankan.

“Hakikatnya tidak perlu menuding jari kepada polis untuk melakukan penguatkuasaan kerana fakta yang berlaku, tangkapan dan rampasan dibuat oleh polis menunjukkan peningkatan ketika di bawah pentadbiran Guan Eng.

“Statistik peningkatan itu bukan sahaja kerana keberkesanan penguatkuasaan dilakukan polis, tetapi sememangnya telah bercambah kegiatan judi di negeri ini. Walhal kerajaan negeri boleh mencegah dengan tidak membenarkan premis digunakan untuk kegiatan tersebut,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Guan Eng agar tidak perlu angkuh menyelar pihak lain untuk belajar mengenai pemerintahan dan pentadbiran kerajaan.

“Apakah penyelewengan dan skandal yang sedang meliputi pentadbiran beliau satu perkara untuk dibanggakannya?

“Dia (Guan Eng) patut sedar diri dan sekali-kali tidak mungkin dapat menutup kenyataan kerajaan negeri pernah berjanji untuk menangani kegiatan judi dalam mengekang masalah sosial yang semakin berleluasa di Pulau Pinang.

“Mengapakah pengakuan yang pernah dilafaz dulu kini sudah dilupakan? Apakah ertinya ini kalau bukan ianya satu pembohongan atau Guan Eng telah nyanyuk?” soal beliau. – MalaysiaGazette