Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa kerajaan Malaysia menjadi perantara bagi menyelesaikan pertikaian yang berlaku antara Arab Saudi dan beberapa negara Islam lain dengan Qatar.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dengan peranan itu Malaysia dilihat lebih mulia daripada menyokong mana-mana pihak sama ada betul atau salah.

Kata beliau, kerajaan Malaysia perlu menzahirkan sikap neutral bagi menjalankan peranan sebagai perantara ini

“Kita memandang berat situasi yang berlaku antara Arab Saudi bersama beberapa negara Islam lain dengan Qatar. Peristiwa yang berlaku di bulan Ramadan ini sangat mengejutkan umat Islam apabila hubungan beberapa negara Islam dengan Qatar diputuskan.

“Perpecahan umat Islam di peringkat antarabangsa semakin jelas dengan tindakan tersebut dan pelbagai pihak seolah berebut mahu merakamkan pendapat masing-masing mereka sama ada menyebelahi kumpulan negara yang memutuskan hubungan diketuai Arab Saudi ataupun Qatar,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Pada 5 Jun lalu, kerajaan Arab Saudi bersama Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir mengisytiharkan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat berikutan dakwaan Qatar terlibat dalam unsur aktviti keganasan dan ektremisme iaitu menaja kumpulan Ikhwanul Muslimin, Al-Qaeda, ISIS dan kumpulan pengganas yang disokong Iran.

Berikutan itu juga, kerajaan Yaman, Timur Libya dan Maldives turut mengumumkan langkah yang sama.

Menurut Zainul Rijal, apapun alasan memutuskan hubungan itu ataupun pembelaan yang diberikan oleh Qatar, PPMM merayu agar umat Islam khasnya tidak terkinja-kinja menyokong sesepihak dan menghina sesepihak yang lain.

Ujarnya, betul atau tidak suatu pihak itu sewajarnya bukan perkara yang menjadi teras kepada tindakan umat Islam di negara ini.

“Malaysia sebuah negara Islam yang amat dihormati di kalangan negara Islam dan bukan Islam. Sudah pasti kedudukan dan penghormatan dinikmati kerajaan negara ini akan memberi kelebihan kepada kita untuk memainkan peranan ini,” katanya.

Zainul Rijal turut menyeru umat Islam menghentikan memihak mana-mana pihak, sebaliknya berusaha mendamaikan dua saudara yang sedang bertikai atau sekurang-kurangnya berdoa agar kemelut dihadapi negara Islam di bulan Ramadan ini dapat diselesaikan segera.

Kata beliau, mendamaikan antara dua pihak yang bertikai adalah lebih baik daripada memarakkan pertikaian dengan menyokong mana-mana pihak.

“Kita juga menyeru kumpulan negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar dan Qatar sendiri berunding atas semangat Islam di bulan Ramadan ini bagi mencari jalan penyelesaian kemelut kedua pihak ini.

“Kita percaya kebolehan dan kemampuan Malaysia menjadi orang tengah menyelesaikan pertikaian ini,” ujar beliau.

Katanya, negara Islam seharusnya merapatkan saf perpaduan dan bersatu dalam segala bentuk tindakan, bahkan masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab terlalu banyak untuk digalas bersama.

“Kita sebenarnya tidak mempunyai masa untuk bercakaran sesama sendiri. Kepentingan agama Islam dan persaudaraannya hendaklah diberi keutamaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette