Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menubuhkan Majlis Bekas Ketua-Ketua Polis Negara untuk memperkasakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendepani cabaran yang lebih hebat pada masa depan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ia juga perlu bagi mengatasi penyalahgunaan media sosial khususnya kebebasan menyebarkan matlamat tanpa rasa tanggungjawab yang semakin serius.

“Saya yakin dengan kewujudan majlis seperti ini, bekas-bekas KPN boleh membantu PDRM berdepan cabaran khususnya melibatkan fitnah dan hasutan yang memburukkan imej pasukan itu.

“Ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan banyak maklumat salah berkenaan polis khususnya meletakkan imej buruk kepada PDRM dengan tujuan salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak akhir-akhir ini, ada pihak menggunakan rakaman video yang disebarkan ke media sosial untuk menggambarkan keburukan anggota PDRM sedangkan kejadian sebenar adalah disebaliknya.

Walaupun sudah bersara, bekas-bekas KPN masih bertanggungjawab memastikan pasukan itu terus diyakini oleh rakyat sebagai barisan hadapan menjaga kestabilan negara serta mengekang aktiviti jenayah daripada terus berleluasa.

“Majlis berkenaan akan bertindak memberikan penjelasan dan mempertahankan imej polis kerana kita percaya PDRM tetap kuat dan melaksanakan amanah negara dengan penuh integriti dan ketegasan.

“Mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan kewujudan media sosial, membuat fitnah, menghasut serta memperlekeh tugas polis sehingga membuatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan beruniform itu tergugat,” katanya.

Musa juga berkata, ia boleh digunakan sebagai platform menyebarkan kesedaran bahaya jenayah kepada orang ramai supaya menghindarkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.

“Integriti dan kekuatan PDRM akan terus dipertahankan melalui penubuhan majlis berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette