Sohaimi memakaikan apron sumbangan Yayasan Jamin kepada seorang peniaga di bazar Ramadan Selayang.

SELAYANG – Parti yang tiada asas perjuangan dan ditubuhkan hanya untuk mencapai cita-cita peribadi tidak akan mampu bertahan lama.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, bukti jelas ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mana pemimpinnya hilang kepercayaan antara satu sama lain.

“PPBM seperti parti budak sekolah. Di awal penubuhannya lagi sudah berlaku pergolakan dengan beberapa pemimpin utamanya meletakkan jawatan.

“Yang masih ada sekarang pun masing-masing bertelingkah sesama sendiri hanya kerana berebutkan jawatan,” katanya kepada pemberita di Bazar Ramadan Selayang, di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Jamin mengedarkan apron kepada peniaga bazar berkenaan dalam usaha tanggungjawab sosialnya menjalankan kempen menjaga kebersihan sepanjang Ramadan.

Sohaimi turut mengingatkan pemimpin UMNO agar tidak melayan pertelingkahan yang berlaku dalam kepimpinan PPBM kerana campur tangan itu tidak memberi sebarang keuntungan kepada parti.

“Kita biarkan mereka bergaduh sama sendiri. Kita hanya tumpukan kepada usaha untuk menguatkan jentera parti menghadapi pilihan raya umum.

“Agenda kita adalah memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus kekal menerajui negara,” katanya. – MalaysiaGazette