Idris Jusoh
PUTRAJAYA – Tiga belas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dibenar menyambung kembali pelajaran merupakan mereka yang dibebaskan dengan bon mahkamah dan tidak dikenakan sebarang pertuduhan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata terdapat kekeliruan mengenai perkara tersebut dalam kalangan masyarakat kerana terdapat dua kumpulan pelajar yang dimaksudkan beliau sebelum ini.

“Pelajar inilah yang saya maksudkan dibenarkan untuk sambung belajar seperti biasa sepertimana keputusan yang dibuat oleh UPNM.

“Pelajar-pelajar ini juga akan diberikan kaunseling dan sokongan psikososial oleh UPNM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata satu kumpulan 13 orang pelajar lagi adalah yang telah dikenakan tuduhan di bawah kanun keseksaan dan mereka telah dibenarkan oleh mahkamah untuk diikat jamin sementara menanti perbicaraan.

“Pelajar-pelajar ini telah digantung daripada pengajian mereka dan pihak UPNM sedang memproses penggantungan ini mengikut prosedur yang ditetapkan,” kata Idris.

Jelasnya pihak kementerian memandang serius isu  berkenaan dan akan sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

— BERNAMA