Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberikan pengecualian cukai kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan bukannya syarikat China, China Communications Construction Company (CCCC) yang dilantik untuk melaksanakan pembinaannya. - AZIZ KAPRAWI
Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberikan pengecualian cukai kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan bukannya syarikat China, China Communications Construction Company (CCCC) yang dilantik untuk melaksanakan pembinaannya. - AZIZ KAPRAWI

KUALA LUMPUR – Kenyataan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengenai isu kleptokrasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah muslihat pihak tertentu untuk dijadikan buah mulut rakyat semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, bahkan cubaan DOJ untuk memfailkan saman sivil hanya berdasarkan laporan daripada pihak yang tidak dikenali itu amat mencurigakan.

Lebih mencurigakan katanya, apabila syarikat milik penuh kerajaan iaitu 1MDB yang dikatakan wangnya dicuri tidak pernah dipanggil oleh pihak DOJ untuk memberi sebarang kenyataan.

“Usaha untuk mengaitkan aktiviti kleptokrasi terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga dilihat sengaja diada-adakan.

“Pihak DOJ sekali lagi gagal menyebut secara jelas nama Perdana Menteri dan isteri sebagai defendan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ab. Aziz berkata, rakyat Malaysia seharusnya berpegang kepada siasatan yang telah dijalankan oleh penguatkuasa dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, polis, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurut beliau, semua agensi penguatkuasa itu telah merumuskan bahawa Perdana Menteri bebas daripada sebarang salah laku transaksi kewangan 1MDB.

“Pembangkang dilihat semakin terdesak apabila mereka ketandusan isu untuk dimainkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Malah, indikator perkembangan ekonomi dan kewangan negara semakin menggalakkan menjadi bukti kepada kejayaan Perdana Menteri mengurus ekonomi negara dengan baik serta mengurus keperluan rakyat sehingga ke akar umbi,” ujar beliau.

Ab. Aziz turut mendesak pihak berkuasa menyiasat segera laporan Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mendakwa terdapat usaha melobi DOJ untuk membawa kes itu ke hadapan.

“Ini adalah usaha daripada pihak tertentu yang cuba menghidupkan kembali isu ini supaya ia berpanjangan sehingga PRU-14,” katanya. – MalaysiaGazette.