Home Dunia Korea Utara nafi seksa, dera Warmbier

Korea Utara nafi seksa, dera Warmbier

PYONGYANG – Kerajaan Korea Utara menafikan telah memberi layanan buruk terhadap pelajar Amerika Syarikat, Otto Warmbier yang koma ketika ditahan di dalam penjara negara itu.

Warmbier dibebas dan dihantar pulang oleh Korea Utara dalam keadaan koma dan keluarga mangsa telah menyalahkan negara itu atas kematian anak lelaki mereka.

Jurucakap Pyongyang yang dipetik oleh Reuters berkata, kematian Warmbier adalah misteri.

Warmbier, 22, seorang penuntut di University of Virginia, yang mengembara ke negara itu ditahan di Lapangan Terbang Pyongyang pada bulan Jauari tahun lalu.

Mangsa dituduh mencuri papan tanda propaganda daripada sebuah hotel.

Dia kenakan hukuman kerja keras selama 15 tahun.

Keluarga Warmbier tidak tahu tentang nasib anak mereka sehingga 13 Jun lalu Pyongyang mengumumkan mangsa koma sejak dibicarakan disebabkan botulism.

Jurucakap Korea Utara yang dipetik Reuters memaklumkan penuntut berkenaan dihantar pulang ke Amerika Syarikat pada tahap baik.

Sedangkan, Warmbier meninggal dunia kurang daripada seminggu selepas dihantar balik.

Dakwaan penuntut berkenaan mati kerana didera dan dipukul semasa dalam tahanan adalah tidak berasas, kata jurucakap itu.

Sebaliknya, beliau menuduh Amerika Syarikat membuat tuduhan palsu.

“Kami melayan semua penjenayah … secara menyeluruh mengikut undang-undang domestik dan piawaian antarabangsa dan Warmbier tidak terkecuali.

“Mereka yang tidak tahu bagaimana kami melayan Warmbier di bawah keadaan kemanusiaan jangan berani membuat tuduhan penganiayaan’ dan penyeksaan,” kata jurucakap Majlis Perdamaian Negara. – MalaysiaGazette