Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tokoh Amerika Syarikat mendedahkan Wall Street Journal (WSJ) yang berusaha untuk menggulingkan kerajaan Malaysia sejak beberapa dekad lalu sebenarnya menjual berita palsu.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa ketika menyatakan perkara itu memberitahu, Malaysia yang sering menjadi bahan fitnah sudah lama menyedarinya dan mempunyai pengalaman luas dalam menepis serta menapis berita palsu terbitan akhbar propaganda Israel itu.

“Selama beberapa dekad WSJ telah menyerang kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh UMNO. Kita menyedari teknik pembohongan bermotivasi politik dan penyelewengan yang diterbitkan akhbar itu.

“Akhbar propaganda Israel ini menyasarkan kerajaan pimpinan UMNO yang mengambil alih tampuk pimpinan di Malaysia dan WSJ mengutuknya kerana UMNO menyokong pembangunan orang Melayu serta kaum lain di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut Annuar, WSJ berhasrat mengenakan agenda ekstremis sekular liberalnya sendiri di Malaysia dan memperlihatkan pilih kasih terang-terangan terhadap pembangkang sekurang-kurangnya sejak 19 tahun lalu.

WSJ juga katanya, merupakan penyokong tegar peperangan haram Iraq yang telah menghancurkan Timur Tengah, memusnahkan sebuah negara menyebabkan beratus-ratus ribu kematian dan bertanggungjawab secara langsung terhadap kebangkitan Daesh.

“Akhbar ini sama sekali tidak bertanggungjawab dan tidak mahu dipersalahkan akibat penyebaran berita palsunya itu.

“Malangnya, ramai orang di seluruh dunia tidak menyedari hakikat siapa WSJ sebenarnya. Tetapi Malaysia tidak bersendirian dalam mengetahui bahawa WSJ tidak boleh dipercayai. Ramai orang Amerika juga sudah mengenalinya.

“Senator Demokrat terkenal, Al Franken telah menggambarkan WSJ sebagai “sengaja mengelirukan” dan merujuk kepada “putar belit Wall Street Journal yang norma”. Putar belit ialah perkataan yang sering dikaitkan dengan WSJ,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh menjelaskan, inilah corak yang sering ditonjolkan WSJ sebagaimana The Huffington Post menuduh, akhbar berkenaan sentiasa menerbitkan gambaran salah dan menyeleweng fakta untuk mengalakkan peperangan serrta sekatan, yang akan membuatkan orang biasa kebuluran.

Sebelum ini, Pusat Kemajuan Amerika turut menuduh WSJ melakukan putar belit dan penyebaran maklumat salah yang disengajakan atas sebab obsesi ideologi.

Kata Annuar lagi, WSJ ialah sebahagian daripada wabak berita palsu dan putar belit yang mengancam kesejahteraan masyarakat dengan menjadikan sensasionalisme dan komersialisme sebagai objektif utama laporannya.

“Rakyat Malaysia kadang-kadang terkejut apabila akhbar AS boleh menyiarkan pembohongan dan mereka sangka akhbar itu akan dipaksa untuk menarik balik serta membetulkan kesilapan atau fabrikasi tersebut.

“Tetapi, di Amerika tidak seorang pun boleh menghalang pencetakan akhbar seperti WSJ. Akhbar boleh mencetak apa sahaja yang dikehendakinya.

“Ini termasuk ramai orang yang telah berusaha keras untuk menggulingkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik. Sudah tentu WSJ gembira untuk mendekati mereka tanpa menghiraukan ketepatan atau kebenaran,” ujar beliau. – MalaysiaGazette