Siti Aminah Ahmad, masih mampu berjalan tanpa menggunakan alat bantuan seperti tongkat dan kerusi roda walaupun umur kini mencecah 79 tahun ketika ditemui dirumahnya di Taman Sejahtera, Segambut, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2017.
KUALA LUMPUR – Siapa sangka di tengah kepesatan ibu kota masih ada insan yang serba daif dan bergelut setiap hari untuk meneruskan kelangsungan hidup, lebih-lebih lagi ketika menghabiskan sisa-sisa hidup dalam usia emas.
Kemelaratan hidup dua warga emas, Siti Aminah Ahmad, 79, bersama adik lelakinya, Abdul Hamid Ahmad, 72, menjadi semakin parah kerana kurang mendapat perhatian dan pembelaan sejak lebih 25 tahun lalu.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke kediaman adik-beradik warga emas ini, kita bagaikan masuk ke tahun 80-an apabila keadaan fikizal rumah berkenaan tidak semoden jiran tetangga dan bagaikan rumah setinggan dibina menggunakan daripada kayu dan plywood usang.
Nasib dua beradik ini hanya mendapat perhatian dan bantuan daripada pihak berkuasa sebaik saja sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (Asas) menjumpai mereka dalam satu program jelajah asnaf pada awal Ramadan lalu.
Warga emas, Siti Aminah Ahmad, 79 ketika ditemui di rumahnya di Taman Sejahtera, Segambut, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2017.
Timbalan Presidennya, Khairul Rizam Abu Samah berkata, ia hasil maklumat daripada kenalan adik-beradik berkenaan yang membawa beliau dan sepasukan sukarelawan NGO ke kediaman yang dibina di bawah pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Apabila sampai, kami agak terkejut dan melihat seorang nenek bongkok yang duduk dengan seorang adiknya yang juga warga emas tapi tidak mendapat sebarang bantuan.
“Kali pertama saya hadir ke sini agak terkejut, apabila ada sebuah keluarga yang tinggal di sini, seolah-olah berada di zaman 80-an,” katanya ketika lawatan ke kediaman warga emas berkenaan di Taman Sejahtera, Segambut, di sini, baru-baru ini.
Abdul Hamid Ahmad, 72 tinggal sebumbung bea kakaknya Siti Aminah Ahmad di Taman Sejahtera, Segambut, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2017.
Menurut Khairul Rizam, selepas menyantuni dan menyerahkan bantuan keperluan harian, beliau mengambil inisiatif berkongsi maklumat itu di media sosial agar pihak berwajib segera mengambil tindakan.
“Alhamdulillah saya berterima kasih kepada pihak TNB, DBKL dan UMNO Segambut kerana memberi kerjasama dalam membantu keluarga nenek ini, selepas daripada maklumat yang kami berikan,” katanya.
.
Katanya, lebih menyayat hati apabila warga emas ini terpaksa tidur dalam kebasahan setiap kali musim hujan berikutan keadaan bumbungnya berlubang-lubang dan dinding kayu yang mudah dimasuki air.
Temubual bersama, Timbalan Presiden Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera, Khairul Nizam Abu Samah di Taman Sejahtera, Segambut, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2017.
“Saya dapat tengok di sini, apabila hujan, air akan masuk ke dalam rumah kerana ia dibina menggunakan papan
“Dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mungkin boleh berubah kepada pembinaan rumah batu kerana mereka cuba mempertahankan tempat ini dari dulu sampai sekarang,” jelasnya.
Beliau juga akan membantu memberikan rawatan dan bekalan ubat-ubatan secara percuma memandangkan kesihatan Siti Aminah tidak mengizinkan dan mengalami masalah bongkok sejak puluhan tahun lalu.
“NGO kami akan bawa dan bekerjasama dengan doktor-doktor kerajaan dan hospital swasta untuk memberikan ubat-ubatan bagi keperluan keluarga nenek dengan secara percuma,” katanya.
Khairul Rizam juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang dan membantu warga emas berkenaan menghubungi beliau di talian 012-285 5650.
“Insya-Allah saya akan bawa mereka ke kawasan rumah ini dan dapat melihat keadaan di sini dan memberikan bantuan kepada keluarga yang sepatutnya,” katanya.
Samiah Selamat, 53 ketika temui di Taman Sejahtera, Segambut, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2017.
Sementara itu, Samiah Selamat, 53, atau lebih dikenali sebagai Salmi, merupakan individu yang bertanggungjawab membantu NGO Asas menjejak warga emas itu selepas mendapat diminta mencari asnaf di kawasan Segambut.
“Sebenarnya saya dah lama kenal keluarga Pak Hamid ini, sejak 20 tahun lalu, ketika itu saya pelanggan tetap semasa dia berniaga dulu,
“Apabila NGO Asas meminta saya carikan asnaf memang terus keluarga ini paling utama saya nampak dan terus saya bawa NGO Asas dan dari situlah datangnya bantuan dan ramai membantu,” katanya.
Katanya, Siti Aminah lebih gemar mendiami rumah usang itu kerana hobinya suka memelihara kucing.
“Nenek ini pula tak suka duduk di rumah flat sebab dia suka bela haiwan iaitu kucing, sebagai belaian dan teman dia.
“Kalau nak bawa ke rumah batu keluarga mungkin boleh terima, tapi jiran-jiran kita tak tahu,” jelasnya.
Keadaan rumah yang didiami oleh dua beradik yang merupakan warga emas, Siti Aminah Ahmad, 79 dan Abdul Hamid Ahmad, 72 di Taman Sejahtera, Segambut, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2017.
Bagi adik lelaki Siti Aminah, Abdul Hamid pula berkata, dia juga ada masalah kesihatan di mana tulang belakangnya renggang dan sakit saraf sejak kematian isteri, puluhan tahun lalu.
“Saya datang sini sejak 1965, dan mula berniaga sejak 1991, niaga roti canai masa sihat, ketika itu isteri masih hidup lagi, bila isteri meninggal, niaga semakin menurun, itu yang jadi macam ini.
“Cuma dapat baitulmal RM500 dan bulan lepas kena potong RM100, jadi RM400 untuk kami berdua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette