Kemeriahan sambutan Rumah Terbuka Perdana Menteri pada 1 Syawal lalu akan diteruskan Rumah Terbuka PM di Pekan, Pahang esok.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kawalan paling selamat untuk menyambut perayaan secara bebas dan aman datang dari rakyat Malaysia sendiri.
Kata beliau, rakyat harus memastikan diri mereka tidak terpengaruh dengan fahaman militan dan ekstremisme.
“Kita dapat merasai dan menikmati kebebasan agak terjamin dengan kawalan keselamatan yang baik pada majlis hari ini.
“Saya ingin menyatakan bahawa kawalan paling terbaik adalah dari rakyat kita sendiri.
“Kalau rakyat tidak terpengaruh dengan fahaman militan dan ektremisme yang mencetuskan pelbagai pergolakan dan keganasan di dunia, kita dapat sambut perayaan dan hidup tanpa ketakutan di negara ini.
“Semangat inilah yang harus dipertahankan rakyat jelata selama-lamanya,” katanya semasa temubual secara lintas langsung oleh Radio Televisyen Malaysia di Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Kediaman Rasmi Kompleks Seri Perdana bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.
Mengenai ancaman keselamatan lagi, tambah beliau anggota polis bertindak cergas manakala anggota tentera Malaysia (ATM) di mempertahankan sempadan negara dengan baik pada sambutan Syawal tersebut.
“Ia memperlihatkan keamanan negara kita terus terjamin tanpa sebarang insiden tidak diingini,” ujarnya.
Ditanya mengenai sambutan rumah terbuka hari ini, Najib menyifatkan sambutan rumah terbuka kali ini meriah sehingga rakyat berbilang kaum beratur panjang sehingga pintu utama kompleks tersebut.
“Saya boleh guna dua perkataan ‘ramai dan kepelbagaian’ yang mana majlis rumah terbuka kali ini mecerminkan rakyat Malaysia memperlihatkan keceriaan yang spontan.
“Saya terharu mereka datang dari jauh dan dekat kerana mahu memastikan hubungan rakyat dan pemimpin terus kukuh sehingga menunggu berjam-jam untuk bersalam dan bermaafan,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor turut memuji pengorbanan anggota keselamatan negara di sempadan dengan terpaksa berjauhan daripada keluarga pada sambutan mulia kali ini.
“Saya juga berharap rakyat terus bersatu padu dan sentiasa bersama dalam menjaga keharmonian dan beraya dengan gembira,” katanya. – MalaysiaGazette