Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kanan) beramah mesra dengan Orang Kelainan Upaya (OKU), Zul Hizman Shaharin (dua kiri) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 25 JUN 2017.

PUTRAJAYA – Lebih 75,000 orang telah berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini.

Majlis yang bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang menyaksikan orang ramai terdiri daripada kanak-kanak hingga ke dewasa dan warga emas pelbagai kaum menunggu seawal sejak 8.30 pagi lagi sebelum dibenarkan masuk ke majlis.
Mereka melalui proses pemeriksaan yang ketat di pintu masuk Seri Perdana sebagai aspek keselamatan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.

Perdana Menteri bersama Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turun ke ruang utama Seri Perdana sebelum menerima orang ramai dan bersalaman dengan mereka bermula 12 tengah hari tadi.

Beliau  mengenakan pakaian baju Melayu berwarna oren kemerahan sedondon dengan isterinyaDatin Seri Rosmah Mansor yang berbaju.
Najib kemudian disertai oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan isterinya selain Datuk Seri Nancy Shukri.
Turut hadir mengucapkan selamat hari raya ialah Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan para perwakilan asing ke Malaysia, pemimpin politik komponen BN, para pemimpin NGO dan lain-lain.
Orang ramai turut disambut dengan juadah istimewa Aidilfitri dan persembahan artis popular tempatan pelbagai kaum.
Sekitar 3 petang Najib bersama isterinya telah memotong kek sambutan raya difahamkan seberat 100 kilogram.
Terdahulu perdana menteri menyifatkan kehadiran begitu ramai tetamu ke majlis rumah terbuka beliau dan Jemaah Menteri dari pelbagai latar belakang sambil menyifatkan kawalan rakyat adalah keselamatan terbaik negara. – MalaysiaGazette