Hilmi Yahaya
GEORGE TOWN – Kawasan hijau di Balik Pulau kini semakin terancam disebabkan pelbagai projek pembangunan tidak terancang yang diluluskan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP, dakwa Anggota Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Katanya sebelum ini kawasan itu merupakan kawasan hijau yang bersih dengan kampung-kampung tradisional terpelihara dengan baik selain kebun buah-buahan dan sawah padi.

“Ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN), tidak ada kondominium atau banglo mewah di tengah-tengah hutan di Balik Pulau. Kami benarkan pembangunan namun kami laksanakannya berdasarkan pelan struktur dan hanya kawasan tertentu boleh dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Pulau Pinang bersempena sambutan Aidilfitri, di sini hari ini.

Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kepong daripada DAP Dr Tan Seng Giaw yang mengeluh mengenai perubahan di Pulau Pinang dan kehijauan Balik Pulau yang semakin terhakis, menerusi akaun Facebooknya semalam.

“Saya setuju sepenuhnya dengan kenyataan Dr Tan tentang Balik Pulau dan saya bimbang jika keadaan ini berterusan semua kebun durian dan sawah padi akan hilang dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Saya rasa Dr Tan patut nasihatkan ketuanya (Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng) agar mempertimbangkan untuk memperlahankan pembangunan di Balik Pulau,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata apabila Pulau Pinang ditadbir oleh DAP pada 2008, segala perancangan yang disusun oleh BN diabaikan termasuk rancangan BN untuk mewartakan pelan struktur bagi Balik Pulau.

Beliau berkata projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di Balik Pulau mengubah sepenuhnya ciri-ciri kampung di situ terutamanya di Kuala Jalan Baru, Sungai Rusa dan Pondok Upeh.

Beliau juga mendakwa sejak kebelakangan ini pembangunan dilakukan secara agresif dengan lebih banyak kawasan berbukit dan lereng bukit dibersihkan untuk tujuan projek pembangunan.

Dr Hilmi turut meluahkan kebimbangan projek pembangunan terkini di Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Bayan Lepas yang melibatkan kerja-kerja tebus guna laut akan merosakkan habitat hidupan marin sekali gus mengancam sumber pendapatan nelayan.

“Kami telah meminta Universiti Sains Malaysia menjalankan kajian mengenai sebab-sebab kita tidak patut benarkan pembangunan dan kerja tebus tanah di kawasan itu dan laporan telah diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri serta Menteri Sumber Alsi dan Alam sekitar untuk tindakan lanjut,” katanya.

— BERNAMA