Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pergeseran politik antara exco Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh masih tiada penghujungnya.

Terbaru Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor itu mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Noh kerana lebih suka berpolitik dan ini merugikan Kabinet.

“Saya melihat Timbalan Menteri sekarang, Datuk Halimah Mohamed Sadique lebih berwibawa dan terbuka. Lagipun beliau telah menjadi Timbalan Menteri sejak 2013 maka lebih berpengalaman dari Tan Sri Noh. Maka adalah wajar beliau menggantikan Tan Sri Noh.

“Tetapi jika perlu melantik pemimpin dari Selangor, terdapat juga pemimpin BN yang layak mengganti Tan Sri Noh. Datuk Seri Dr Irmohizan Ibrahim, Ahli Parlimen Kuala Selangor adalah salah seorang calon pengganti Tan Sri Noh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertikaman lidah antara Iskandar dan Noh bermula apabila Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mendakwa kerajaan negeri Selangor tidak mengambil berat tentang pangsapuri-pangsapuri di kawasan Dewan Undangan Negeri Chempaka.

Iskandar dalam kenyataan balasnya berkata, dakwaan Noh hanyalah sekadar untuk mencari publisiti murah sahaja.

Justeru Noh menasihatkan agar Iskandar turun sendiri ke kawasan yang menjadi pertikaian mereka.

Oleh itu, Iskandar berkata, kerajaan negeri tidak perlu diheret dalam pertikaian di antara kedua-dua mereka berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Azmin Ali.

“Kami tidak bercakap kosong kerana telah memberikan keistimewaan kepada projek Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Perkhidmatan Awam 1 Malaysia (PPA1M) sama seperti projek Rumah Selangorku. Tetapi Menteri yang terlibat lebih suka mengambil sikap untuk berkonfrontasi dengan kerajaan negeri,” katanya. -MalaysiaGazette.