Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Selepas mendesak kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Pas kini dalam perancangan untuk menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan, langkah itu diambil parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memastikan isu rasuah ditangani dengan telus dan pada kadar segera.

“Perlu ditegaskan, bahawa Pas mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri dalam merealisasikan strategi dan ‘roadmap’ perjuangannya. Tidak terikat dengan mana – mana pihak, demikian juga tidak terkesima dengan gerak tari pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri.

“Pas bersama Gagasan akan menghantar memorandum kepada SPRM tidak berapa lama lagi guna menjelaskan penyelesaian fundamental mengenai isu rasuah yang membarah, termasuklah berkait 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad menyarankan supaya kerajaan menubuhkan RCI berhubung isu penyelewengan dana syarikat 1MDB.

Parti itu menyambut baik keputusan Kabinet menubuhkan RCI untuk siasatan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an, namun mahu tindakan sama dibuat ke atas kes 1MDB.

Penubuhan RCI akan membolehkan siasatan terperinci yang lebih menyeluruh dilakukan berdasarkan lunas-lunas perundangan dan dilindungi mengikut Akta 119.

Justeru, Pas mahukan satu siasatan yang lebih menyeluruh bagi mengekang gejala rasuah daripada terus mencengkam tatasusila masyarakat di negara ini.

“Pas tegas menolak kaedah pengurusan kewangan 1MDB yang bercanggah dengan syarak seperti mendapatkan modal dengan cara pinjaman riba dan sebagainya.

“Berhubung isu 1MDB, Pas mengambil penyelesaian yang bersifat ‘fundamental’ dengan usaha membetulkan urustadbir negara, mengembalikan sistem pemisahan kuasa dan membenteras politik wang,” tambah Nasrudin lagi.

Isu 1MDB kembali hangat apabila DoJ memfailkan saman sivil ketiga yang mendakwa antara lain wang yang didakwa diselewengkan dari dana itu telah digunakan untuk membeli 28 set barangan kemas, termasuk rantai berlian AS$27.3 juta untuk isteri MO1. – MalaysiaGazette