FGV

KUALA LUMPUR –  Memulihkan keyakinan pelabur terhadap Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGV) tidak semudah yang dikatakan oleh bekas Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad tidak lama dahulu.

Semasa kemelut pengurusan syarikat peladangan kelapa sawit terbesar itu sedang memuncak, Isa dengan yakin berkata, nilai saham FGV akan naik semula selepas semua krisis berakhir.

Namun bagi seorang ‘big boss’ sebuah organisasi pelaburan ternama di Malaysia, sentimen pelabur terhadap ‘brain child’ Perdana Menteri itu sudah terhakis sejak bertahun lalu, sebelum ‘perang’ di antara lembaga pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkenaan bermula.

Menurut ahli pelaburan dan tokoh korporat terkemuka itu, hilangnya keyakinan pelabur terhadap FGV bukan hanya bermula ketika Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad serta tiga lagi pengurusan kanan diminta bercuti tanpa had.

“Ia bukan kisah semalaman. Bukan sekadar cerita-cerita yang mengaitkan apa yang sedang berlaku di antara kepimpinan tertinggi syarikat tersebut, sebaliknya cakap-cakap belakang berhubung kelemahan pengurusan sudah lama berlaku sehingga timbul keraguan di hati para pelabur untuk menanam modal di syarikat berkenaan.

“Kejatuhan harga saham FGV yang melebihi 50 peratus daripada nilai Tawaran Awam Permulaannya (IPO) tidak mudah untuk dipulihkan kerana sentimen pelabur yang tidak yakin terhadap syarikat perladangan kelapa sawit terbesar Malaysia itu sudah berlanjutan sejak sekian lama,” katanya yang turut bersimpati dengan nasib peneroka yang terpaksa menanggung beban hutang apabila nilai saham FGV jatuh melebihi jangkaan.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merupakan pemegang saham terbesar FGV.

Jelas beliau, pelabur semakin menjauhi FGV kerana tidak mahu menyaksikan pelaburan mereka lebur dek kerana pengurusan teratas yang lemah dan kurang integriti selepas memantau dengan rapat perkembangan di dalam syarikat tersebut sejurus selepas ia disenaraikan.

FGV pernah mencatatkan rekod sebagai penyenaraian awam kedua terbesar dunia selepas Facebook pada 2012 dengan meraih dana sebanyak RM10 bilion hasil IPO.

“Di dalam sesebuah syarikat, perkara yang paling utama ada urus tadbir yang baik dan integriti, integriti, integriti.

“Perkara ini yang menjadi fokus utama pelabur dan sekiranya dua perkara ini tidak dititik beratkan oleh pihak pengurusan dan lembaga pengarah, para pelabur pastinya tidak berminat terhadap syarikat berkenaan,” katanya di dalam satu pertemuan di sini.

Beliau yang enggan dinamakan itu berkata, pemulihan sentimen bagi kes yang melibatkan krisis integriti pihak pengurusan dan urus tadbir yang lemah juga tidak semudah yang dijangka.

Ia tidak boleh pulih dalam masa yang singkat, apatah lagi jika tiada reformasi ke akar umbi dilakukan bagi memberikan keyakinan semula pelabur kepada syarikat tersebut, katanya sambil menyatakan rasa kasihan kepada nasib pelabur terutama peneroka yang turut memiliki saham FGV sejak ia disenaraikan.

FGV disenaraikan Jun 2012 pada harga RM4.55 sesaham namun prestasinya semakin merosot akibat pelbagai isu sehingga jatuh ke sekitar RM1.60 seunit.

Keadaan diburukkan lagi apabila pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah FGV yang saling tuduh-menuduh melakukan kesalahan urustadbir serta salah guna kuasa sehingga kedua-duanya memaksa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

Menyedari nilai saham FGV amat berharga untuk dilindungi daripada terus jatuh dan merosakkan reputasi syarikat dan seluruh institusi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan pantas untuk menggantikan tempat Isa dengan Tan Sri Sulaiman Mahbob.

Bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi itu diberi mandat untuk melakukan reformasi menyeluruh dan seterusnya membawa ‘brain child’ Perdana Menteri itu ke tahap yang lebih tinggi.

Bagaimanapun setakat ini, tiada pengumuman dibuat secara rasmi berapa lama tempoh yang diberikan kepada Sulaiman yang juga bekas ahli lembaga pengarah FGV untuk melakukan reformasi terhadap syarikat perladangan kelapa sawit terbesar Malaysia itu. – MalaysiaGazette