Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Anak sulung kepada Ketua Umum PKR, Nurul Izzah Anwar seakan terus melupakan sejarah hitam keluarganya dalam mengharungi arena politik sebaik ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihumban ke penjara buat kali pertama pada 1999.

Ternyata apa yang dilalui beliau dan keluarga terus dihempas ke tepi semata-mata tujuan politik pembangkang menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tercapai.

Memetik laporan The Malaysian Insight, Nurul Izzah berkata, penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam gabungan pembangkang membuktikan agenda untuk menjatuhkan pentadbiran Najib merupakan faktor lebih besar mengapa Mahathir menyertai pembangkang.

“Sesiapa saja boleh bertaubat, menyokong dan bersama-sama agenda reformasi.

“Apabila saya lihat kembali apa yang Dr. Mahathir lakukan saya tidak boleh menolak sesiapa saja yang menyokong agenda reformasi kita.

“Kita haruslah berjiwa besar. Kita haruslah berfikiran terbuka,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Penglibatan Mahathir dalam arena politik pembangkang bermula apabila tercetusnya Deklarasi Rakyat pada 2016 yang bertujuan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya.

Ia kemudian direalisasikan dengan pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Ogos 2016 dengan tujuan menyertai Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tambah Nurul Izzah, apa yang pernah dilaluinya sebelum ini sudah tidak lagi penting, namun usaha ke arah menjadikan Malaysia yang lebih baik perlu menjadi fokus utama pembangkang tatkala PRU14 sudah semakin hampir.

“Tiada guna membenci individu. Kita mungkin membenci apa yang pernah dilakukannya pada masa lalu.

“Tetapi usaha kita harus ditumpukan kepada memastikan tiada lagi penindasan dan tidak kira siapa pun menjadi perdana menteri,” katanya. -MalaysiaGazette