Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang.

KUALA LUMPUR – Tiada beza antara cukai yang dikenakan menerusi cukai pelancongan yang dikenakan ke atas penginapan hotel menerusi Akta Cukai Pelancongan dengan cukai bilik hotel yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Malah kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengenakan cukai terhadap bilik hotel lebih awal, iaitu pada 2014.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, jika pembangkang ikhlas tidak mahu cukai seumpama itu dikenakan kepada pengguna, mereka perlu terlebih dahulu menansuhkan cukai bilik hotel di negeri itu.

“Apa bezanya dengan cukai hotel menerusi Akta Cukai Pelancongan dan yuran kerajaan Ttempatan oleh kerajaan negeri DAP di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebagai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya membentangkan cadangan pemansuhan cukai kerajaan tempatan yang dikenakan ke atas hotel di Pulau Pinang pada mesyuarat Presiden Pakatan Harapan.

‘Itu baru adil dan saksama. Kini tiba masanya Wan Azizah menunjukkan kualiti kepimpinannya dalam perkara ini sebagai Ketua Pembangkang dan membuktikan dasarnya tanpa omong-omong kosong.

“Jika tidak, ia hanyalah satu lagi retorik politik pembangkang yang diulangi Pakatan Harapan tanpa sebarang harapan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette