Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Parti Gerakan Malaysia Nasional, Ben Liew (dua kanan) bersama mangsa (dua kiri) menunjukkan laporan polis dan risalah perkhidmatan 'sifu' nombor ekor di Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Demi membeli kediaman dua tingkat untuk keluarganya menerusi jalan singkat, seorang suri rumah kerugian RM240,000 kerana terlalu percaya dengan tukang tilik nombor ekor.

Tidak cukup dengan mengeluarkan wang simpanannya, wanita yang berasal dari Selangor itu turut meminjam duit dari ahli keluarga apabila mempercayai kata-kata ‘sifu’ yang kononnya mampu mengubah nasib orang ramai dengan menilik nombor ‘yang bakal naik’ pada cabutan nombor ekor.

Segala transaksi berkaitan pembelian nombor ekor hanya dilakukan menerusi perbualan telefon.

Mangsa mengakui dia hanya menyedari dirinya ditipu sindiket berkenaan setelah ahli keluarganya berhenti memberikan pinjaman.

“Saya mula tertarik untuk membeli nombor ekor selepas menerima satu risalah mengenai nombor ekor 4D kononnya akan mengubah nasib orang ramai yang diletakkan dalam peti surat setiap rumah pada 31 Ogos 2015.

“Saya kemudian membuat pangilan ke nombor telefon seperti yang tertera dalam risalah itu sebelum saya diarah menelefon seorang lagi individu bernama Ah Dong dari Thailand yang memberi nombor 4D, 3982, dengan wang ratusan ringgit dimasukkan ke akaun Suvitta Agarbathi Dharma,” katanya kepada pemberita di Menara PGRM di sini hari ini.

Mangsa menjelaskan, sindiket nombor ekor 4D itu beroperasi di Rantau Panjang, Kelantan yang menghubungkan sami atau ‘sifu’ di Thailand dan aktiviti tersebut bergiat aktif sejak 2014.

Wanita itu yang menyedari nombor yang diberi itu hanyalah nombor pendaftaran motosikal mengakui gagal menghidu penipuan tersebut kerana terlalu taksub untuk memenangi hadiah sehingga RM960,000.

Menurut suri rumah itu, dia telah melakukan pembayaran secara berperingkat lebih 32 kali sehingga mencecah RM240,000.

“Semua wang yang dibayar untuk mendapatkan nombor ekor yang didakwa sindiket itu melibatkan wang simpanan saya lebih RM20,000, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan juga wang berpuluh ribu ringgit daripada ahli keluarga terdekat.

“Pada satu masa setelah ahli keluarga berhenti memberi wang dan memarahi saya, barulah saya mula menyedari bahawa telah ditipu dengan sindiket nombor ekor itu,” tambahnya.

Mangsa juga sedih, kerana dia juga telah diarah membuat pembayaran sebanyak RM20,000 oleh sindiket 4D untuk tujuan pembayaran ‘cukai kastam’ untuk tujuan pelepasan wang kemenangan berjumlah RM960,000 kerana dirampas di sempadan negara.

Katanya laporan polis telah dibuat pada April 2016 lalu dan tampil ke Gerakan sebagai tindakan menggesa polis memperhalusi siasatan itu.

Menurut Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perhubungan Awam Gerakan, Ben Liew Pok Boon, ia merupakan satu-satunya kes penipuan nombor ekor yang melibatkan kerugian terbesar dan pada tahun ini pihaknya telah menerima aduan mengenai penipuan nombor ekor. – MalaysiaGazette