Vettel disarankan bersara dari Ferrari F1 jika benar hilang minat terhadap sukan itu.

MADRID – Pelumba Formula Satu (F1) pasukan Ferrari, Sebastian Vettel terlepas daripada sebarang hukuman berat Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) semalam.

Juara dunia empat kali itu terselamat daripada berdepan tindakan badan Formula 1 itu selepas mengakui bertanggungjawab sepenuhnya dalam insiden perlanggaran dengan Lewis Hamiltion pada GP Terbuka Azerbaijan minggu lalu.

Vettel difahamkan telah mengaku kesalahannya melanggar pelumba Mercedes di Litar Baku, dan memanjangkan permohonan maaf pada mesyuarat bersama FIA di Paris.

FIA memaklumkan keputusan itu berikutan pengakuan ikhlas yang diterima daripada pelumba warga Jerman itu.

Dengan keputusan itu, pelumba Skuderia itu mengungguli carta pelumba dengan kelebihan 14 mata di hadapan Hamilton dalam perebutan juara dunia musim ini.

Vettel juga akan berlumba pada GP terbuka Austria Ahad ini.

FIA dalam kenyataan hari ini berkata, Vettel mengaku kesalahannya dan memohon maaf kepada FIA dan pihak yang terlibat secara tidak langsung dalam insiden itu.

“Berikutan perkembangan terbaharu iru, Presiden FIA Jean Todt memutuskan bahawa isu itu dianggap selesai,” kata kenyataan itu.

Vettel dalam kenyataan kepada FIA juga mengakui bertindak di luar kawalan selepas secara tidak sengaja terlanggar Hamilton ketika perlumbaan dikawal kereta keselamatan pada GP Azerbaijan.

“Saya tidak pernah ada niat jahat untuk meletakkan Hamilton dalam bahaya, dan pada masa yang sama saya juga faham telah menyebabkan situasi berbahaya menerusi insiden itu,” katanya dalam kenyataan menerusi laman web rasminya. – MalaysiaGazette