Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berucap pada Majlis Pelancaran Penjualan Tiket Temasya Sukan SEA KL 2017 di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Kelab dan persatuan bola sepak liga tempatan perlu melepaskan pemain bagi membolehkan pasukan kebangsaan mempersiapkan diri menghadapi Sukan SEA KL 2017.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerjasama daripada setiap pasukan bola sepak liga Malaysia diperlukan bagi memburu pingat emas pada temasya dwi tahunan itu.

“Kita hanya tinggal kurang daripada dua bulan sahaja untuk menganjurkan sukan berprestij di Asia Tenggara membabitkan 11 negara.

“Jadi adalah sangat penting untuk pemain dan jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) supaya sesi latihan mereka dijalankan tanpa sebarang gangguan.

“Saya tahu kita tidak boleh memaksa mereka, tetapi atas kepentingan negara saya berharap pasukan-pasukan liga Malaysia dapat melepaskan pemain-pemain mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu berliau melancarkan jualan tiket Sukan SEA KL 2017 di Kompleks Sukan Negara di sini.

Khairy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Sukan SEA KL 2017 berkata, Kim Swee yang merupakan jurulatih pasukan kebangsaan bawah 21 tahun mempunyai masa yang singkat bagi menghadapi Sukan SEA.

“Saya tahu akan kepentingan pasukan masing-masing dalam liga yang mengejar kemenangan dalam setiap perlawanan tetapi ini adalah permintaan daripada saya dan para penyokong pasukan bola sepak ke sukan SEA,” tambah beliau. – MalaysiaGazette