Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. foto SAFWAN MANSOR, 03 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Pergeseran politik dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 antara Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub semakin berlarutan.

Terbaharu, Salahuddin menasihatkan Abang Johari agar menumpukan masalah yang dihadaip rakyat negeri itu daripada sibuk menghantar sepasukan peguam ke London bagi meneliti perjanjian tersebut.

“Adalah lebih baik bagi Ketua Menteri Sarawak menumpukan perhatian kepada masalah yang dihadapi rakyat Sarawak seperti masalah tanah, kesenjangan hak-hak suku kaum, pembangunan luar bandar dan pendidikan anak-anak Sarawak.

“Usahlah memainkan sentimen semangat anti Malaysia dan perasaan rakyat Sarawak dengan mengheret mereka ke kancah sandiwara politik sedangkan masalah empirikal rakyat Sarawak tidak diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Johari semalam membidas Salahuddin sebagai cetek pemikiran apabila mendakwa tindakan kerajaan negeri Sarawak menghantar pasukan peguam ke London mungkin akan mengundang campur tangan asing dalam urusan negara.

Oleh yang demikian, Salahuddin mencabar Abang Johari agar mendedahkan jumlah kos sebenar yang ditanggung kerajaan negeri Sarawak bagi misi rombongan ke London ini.

“Kajian yang kononnya mahu dilakukan di London pada hemat saya tidak lebih daripada satu sandiwara politik murahan Kerajaan BN Sarawak bagi menyakinkan rakyat Sarawak kononnya Kerajaan Sarawak mahu membuat tuntutan tambahan terhadap Kerajaan Persekutuan.

“Ia adalah tindakan yang sia-sia dan membazir wang rakyat. Melainkan Abang Jo mungkin tidak percaya dengan Peguam Negara lantikan Putrajaya dalam menasihati MA63 sehingga terdesak merujuk sehingga ke London,” katanya.

BN Sarawak dalam pada itu berkata, niat sebenar tindakan tersebut dibuat adalah untuk meneliti sumber dan dokumen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 yang membawa Malaya, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak menjadi Malaysia.

Delegasi itu diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali akan berada di London selama kira-kira seminggu dalam misi mencari fakta tersebut. – MalaysiaGazette