Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani

DOHA – Tuntutan Arab Saudi dan sekutu-sekutunya yang dikenakan kepada Qatar sukar dipenuhi.

Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani memberitahu sidang akhbar di Doha, senarai syarat yang dikenakan untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Teluk itu tidak realistik dan tidak boleh dilakukan.

“Ia bukan mengenai keganasan, ia bercakap tentang menutup kebebasan bersuara,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas berbincang dengan rakan sejawatannya dari Jerman, Sigmar Gabriel.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir telah menuduh Qatar menyokong pengganas tetapi dinafikan.

Tuntutan yang dikenakan ke atas Doha termasuk menutup operasi al-Jazeera, menghentikan hubungan dengan Iran dan menutup pangkalan tentera Turki.

Sheikh Mohammed telah mengemukakan maklum balas terhadap tuntutan itu pada hari Isnin kepada Kuwait yang bertindak sebagai orang tengah.

Bagaimanapun, butirannya tidak didedahkan.

Sheikh Mohammed tidak memberi butiran lanjut tetapi berkata, Doha sedang melihat jalan penyelesaian krisis menerusi dialog.

“Qatar mengamalkan sikap yang sangat membina sejak permulaan krisis. Kami bertindak matang dan membincangkan perkara itu,” katanya.

Empat negara itu telah memutuskan hubungan diplomatik dan menutup laluan pengangkutan dengan Qatar sejak sebulan lalu, mencadangkan sekatan lanjut Doha tidak mematuhi tuntutan berkenaan.

Menteri-menteri luar dari Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir akan bertemu di Kaherah pada hari Rabu untuk membincangkan krisis diplomatik, yang disifatkan paling buruk. – MalaysiaGazette