Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menafikan terdapat segelintir anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mengambil rasuah daripada warga asing ketika menjalankan pemeriksaan secara rawak.

Beliau berkata perkara berkenaan bukan mudah untuk dikawal dan PDRM telah mengambil pelbagai langkah drastik termasuk mengenakan tindakan terhadap anggota terbabit.

“Sebagai contoh, antaranya laporan yang disiar akhbar tempatan berbahasa Cina bahawa ada kereta peronda polis membuat pemeriksaan secara rawak terhadap warga asing di Semenyih baru-baru-baru ini tanpa kehadiran pegawai kanan di lokasi.

“Sebelum ini, PDRM telah mengeluarkan surat pekeliling untuk menghentikan pemeriksaan rawak terhadap warga asing tanpa kehadiran pegawai kanan, ” katanya dalam sesi soal jawab selepas memberi syarahan bertajuk ‘Challenges and Strategies of a New Decades’ pada majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dan Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Khalid berkata surat pekeliling itu dikeluarkan pada 2006 yang menyatakan dengan jelas bahawa anggota polis tidak boleh melakukan pemeriksaan secara individu melainkan dengan kehadiran seorang pegawai kanan polis pada operasi bersepadu dan terancang bersama-sama agensi lain.

“Ini antara langkah yang PDRM ambil untuk mengelak warga PDRM ambil kesempatan terhadap warga asing terutama pelajar asing di negara ini,” katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya akan memastikan perkara itu tidak terus berleluasa.

Ditanya mengenai status ancaman serangan ‘Ransomware Wannacry’ di Malaysia, Khalid berkata ancaman itu masih berada pada tahap terkawal dan tidak seteruk seperti di beberapa negara lain.

Walaupun negara ini tidak menerima ancaman yang kuat, katanya, PDRM sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman berkenaan.

“Kita perlu berhati-hati, saya tidak boleh bercakap ‘kita jangan risau’, kerana penggodam ransomware ini memiliki keupayaan untuk menggodam sistem dan data kita.

“Oleh itu, langkah yang diambil PDRM adalah bekerjasama dengan pihak Cyber Security dalam menghadapi ancaman itu,” katanya.

Beliau turut menasihati semua institusi pengajian tinggi di seluruh negara terutamanya yang menjaga bahagian sistem dan pangkalan data supaya memasang sistem ‘Firewall’ yang kukuh.

— BERNAMA