Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan pengambilan untung dan dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah AS, selain penurunan harga komoditi.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, beliau menjangka FTSE Bursa Malaysia KLCI utama akan mengalami pembetulan selanjutnya, dengan 1,750 sebagai sasaran terdekat, susulan prestasi saham global yang rendah.

“Kami melihat keinginan pelabur bagi ekuiti global lembap, berikutan kebimbangan terhadap pengurangan kuantitatif di rantau ini yang membawa kepada jualan pasaran global.

“Kebanyakan pasaran global susut selepas minit mesyuarat Rizab Persekutuan yang lepas menunjukkan kekurangan konsensus mengenai kadar kenaikan kadar faedah pada masa akan datang, manakala harga minyak turun lebih rendah selepas peningkatan sementara sehari sebelumnya,” katanya.

Sepanjang minggu ini, bursa tempatan diniagakan kebanyakannya dalam keadaan berhati-hati berikutan banyak peserta memilih untuk tidak berdagang secara agresif, berikutan mereka mahu membiarkan pasaran reda sementara waktu, sebelum membeli saham.

Ini menunjukkan peserta pasaran tidak menjangkakan peningkatan Bursa Malaysia berikutan ia telah berada dalam keadaan jajaran kecil.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 3.74 mata kepada 1,759.93 daripada 1,763.67 pada Jumaat lepas, susulan ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti, bon dan mata wang, selain dipengaruhi oleh prestasi Wall Street.

Indeks FBM Emas turun 48.17 mata kepada 12,550.77, Indeks FBMT 100 susut 46.82 mata kepada 12,188.07 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 55.90 mata kepada 12,766.25. FBM 70 berkurangan 136.00 mata kepada 14,937.83 dan FBM Ace jatuh 34.60 mata kepada 6,528.30.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 3.59 mata kepada 16,762.59, Indeks Perusahaan turun 27.27 mata kepada 3,243.29 dan Indeks Perladangan merosot 41.21 mata kepada 7,871.99.

Minggu ini menyaksikan jumlah dagangan meningkat kepada 8.01 bilion unit bernilai RM8.53 bilion daripada 4.29 bilion unit bernilai RM5.72 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 5.52 bilion saham bernilai RM7.99 bilion daripada 2.98 bilion saham bernilai RM5.46 bilion.

Jumlah waran naik kepada 687.91 juta unit bernilai RM95.23 juta daripada 389.96 juta unit bernilai RM49.47 juta. Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.71 juta saham bernilai RM407.48 juta daripada 905.76 juta saham bernilai RM202.37 juta. – MalaysiaGazette