KUALA LUMPUR – Pembeli dalam talian di Malaysia menunjukkan peningkatan dalam pengetahuan membeli-belah secara dalam talian, yang seterusnya mendorong untuk mempraktikkan beberapa pendekatan bagi mendapatkan manfaat sepenuhnya dari kempen jualan murah dan jualan kilat.

Kajian tabiat pengguna pada bulan Jun 2017 itu dijalankan berdasarkan data Shopee dan hasil kaji selidik dalam kalangan lebih 7,500 pembeli dalam talian di seluruh Malaysia.

Potongan harga dan jualan kilat merupakan pendorong terkuat untuk pembelian secara dalam talian

Kajian tersebut mendapati faktor paling penting yang mempengaruhi keputusan untuk membeli-belah secara dalam talian adalah potongan harga dan jualan kilat.

Insentif penghantaran percuma juga merupakan faktor kedua dan diikuti oleh jaminan harga terendah (program yang memberi ganjaran kepada pembeli apabila mereka mendapati harga di platform lain lebih rendah.

Sebanyak 97 peratus daripada responden mengaku merancang pembelian semasa kempen potongan harga, jualan kilat dan semasa baucar diskaun berlangsung.

“Rakyat Malaysia tertarik pada potongan harga dan jualan kilat. Oleh itu, mereka merancang pembelian secara dalam talian sepanjang program promosi seperti ini.

“Jelaslah, kepentingan untuk mendapatkan nilai terbaik daripada pembelian secara dalam talian telah menjadi gaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ramai pengguna mendaftar masuk beberapa kali sehari untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan tawaran terbaharu apabila mereka merancang membeli sesuatu,” kata Ian Ho,
Pengarah Urusan Serantau, Shopee Malaysia.

Berdasarkan kaji selidik ini, lebih 46 peratus responden memeriksa aplikasi Shopee antara 3 hingga 6 kali sehari untuk membuat perbandingan harga dan mencari tawaran harga terbaik.

Lebih 26 peratus pula mendaftar masuk lebih daripada 6 kali sehari untuk mencari potongan harga terendah.

Selain itu, waktu kemuncak bagi rakyat Malaysia yang gemar membeli-belah secara dalam talian adalah dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang dan dari 9 malam hingga 12:00 tengah malam.

Kajian ini mendapati pembeli dalam talian paling tegar berusia antara 18 dan 32 tahun dan kumpulan yang sama juga merupakan pembeli tertinggi yang sering membuat pembelian semasa jualan murah dan kempen berlangsung.

Pembeli wanita berusia antara 18 dan 24 tahun memilih produk fesyen dan produk berasaskan kesihatan dan kecantikan semasa kempen jualan murah.

Manakala mereka yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun lebih menggemari barangan kelengkapan rumah dan barangan dari kategori Permainan dan Barangan Kanak-kanak dan Bayi.

Bagi kategori telefon bimbit dan gajet, 60 peratus pembeli produk ini semasa kempen diskaun telefon bimbit adalah lelaki.

Selain itu, pembeli dalam talian di Malaysia menyenaraikan pakaian dan fesyen, barangan keperluan rumah, produk kesihatan dan kecantikan, telefon bimbit dan gajet dan perkakas rumah sebagai kategori pilihan mereka dalam mendapatkan tawaran harga terendah.

Walaupun responden menunjukkan bahawa keputusan membeli dalam talian lazimnya berlaku dalam tempoh seminggu, rakyat Malaysia lebih peka terhadap harga tinggi sesuatu produk seperti
telefon bimbit dan perkakas rumah.

Seramai 25 peratus daripada responden sanggup menunggu sekurang-kurangnya sebulan untuk  mendapatkan nilai terbaik atau potongan harga lebih rendah bagi barangan yang lebih mahal. – MalaysiaGazette