KUALA LUMPUR – Sentimen lemah dalam perbelanjaan pengguna dan peralihan daripada media tradisional kepada digital menyebabkan pendapatan iklan media semakin mencabar.

Prestasi suku pertama bagi tahun ini menyaksikan para peserta industri merekodkan pencapaian yang mengecewakan.

Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, Media Prima Bhd. menyaksikan prestasi suku pertama tahun 2017 paling teruk, mencatatkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATMI) sebanyak RM39 juta.

Prestasi itu disebabkan hasil daripada pendapatan pengiklanan lebih rendah daripada jangkaan dan kos overhed yang tinggi.

Ia diikuti oleh Star Media Group Bhd, yang mana menerima kejutan apabila sumbangan segmen media cetak dan radio lebih rendah serta kerugian permulaan dalam perniagaan teknologi dan penyiaran (OTT).

Bagaimanapun, Media China International Ltd. merekodkan keputusan tahun penuh yang agak baik berbanding dengan pesaing-pesaingnya walaupun di sebalik prestasinya.

Sementara itu, prestasi suku pertama Astro Malaysia Holdings Bhd yang berakhir pada 30 April 2017 (1QFY18) berada dalam jangkaan kerana keuntungan dan pertukaran mata wang asing yang belum direalisasi rendah telah mengimbangi prestasi utama.

Ia mendorong keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) naik 5 peratus tahun ke tahun.

Walaupun sentimen perbelanjaan pengiklanan 2017 akan disokong oleh ASEAN @ 50, (sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN), Sukan SEA ke-29, Sukan Para ASEAN ke-9 dan Pilihan Raya Umum ke-14, faktor-faktor ini tidak mungkin memberi sebarang rangsangan yang kuat kepada media tradisional.

Perubahan dalam tabiat pengguna, tingkah laku, gaya hidup dan teknologi telah mengurangkan halangan kepada kemasukan rangkaian sosial dan mencipta gangguan besar kepada media tradisional.

“Memandangkan prospek perbelanjaan iklan yang lemah (hasil dari peningkatan kos menjalankan perniagaan) dan persaingan yang semakin meningkat (susulan kemunculan rangkaian sosial), firma penyelidikan itu percaya perbelanjaan iklan kasar akan terus menghadapi masa yang mencabar dan lemah 4.7 peratus pada tahun kewangan 2017 selepas merosot 10 peratus setahun lalu.

“Perbelanjaan iklan kasar negara telah merosot 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM2.48 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2017,” katanya. – MalaysiaGazette