Yeo Jiawei

SINGAPURA – Yeo Jiawei, bekas pegawai bank yang dikenakan hukuman penjara dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengaku terlibat dalam penggubahan wang haram.

Tertuduh yang mengaku bersalah hari ini kerana menipu bekas majikan, telah dipenjarakan 30 bulan pada Disember lalu kerana cuba menganggu saksi-saksi.

Bekas perancang kekayaan BSI SA itu mengaku bersalah selepas Pihak Berkuasa Monetari Singapura menutup siasatan dua tahun aliran dana dalam 1MDB.

Pendakwa telah mengenal pasti Yeo sebagai individu utama yang dikaitkan dengan Low Taek Jho (Jho Low), yang disifatkan oleh penyiasat Amerika Syarikat sebagai pengawal aliran keluar berbilion dolar daripada dana 1MDB.

Yeo telah merujuk Jho Low sebagai bos dan telah menghabiskan sekurang-kurangnya satu malam di rumahnya, menurut prosiding awal mahkamah.

Tertuduh mendakwa berlaku salah faham bahawa dia bekerja untuk Jho Low.

Singapura telah mengenakan penalti sebanyak S$29.1 juta (AS$ 21 juta) kepada lapan bank sebagai sebahagian daripada siasatan 1MDB.

Credit Suisse Group AG dan United Overseas Bank Ltd adalah antara firma yang membayar penalti, manakala BSI dan Falcon Private Bank Ltd diperintah menutup operasi tempatan mereka.

Lima orang, termasuk Yeo, telah disabitkan di Singapura – satu-satunya negara setakat ini yang mengenakan pertuduhan jenayah ke atas perbankan.

Yeo mengumpul aset bersih sebanyak S$23.9 juta melalui “keuntungan rahsia” dalam tempoh 15 bulan selepas beliau meninggalkan BSI pada bulan Jun 2014, menurut pendakwa dalam perbicaraan terdahulu.

Namun, Yeo mendakwa wang itu diperoleh secara sah. – MalaysiaGazette