Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Mangsa ketiga wabak rabies di Serian Sarawak telah meninggal dunia petang tadi.

Kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun itu meninggal dunia pada pukul 2.16 petang akibat rabies encephalomyelitis, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Sehingga 13 Julai 2017, terdapat empat kes disahkan rabies di Serian, Sarawak yang tiga orang telah meninggal dunia dan seorang lagi sedang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak dan dalam keadaan kritikal.

Tiada kes rabies baru dilaporkan.

Katanya, tindakan bagi mengesan kes gigitan anjing telah dilaksanakan di kawasan kejadian wabak rabies di Serian oleh Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

Aktiviti telah dilaksanakan di 96 penempatan yang melibatkan 5,663 rumah dan 21,978 penduduk ditemuduga bagi sejarah gigitan anjing.

Sebanyak 225 kes gigitan anjing telah dikesan di kawasan wabak daerah Serian dan telah diberikan rawatan. Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga telah diberi kepada penduduk kampung berkenaan.

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang awam yang tinggal di Serian agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit rabies dengan mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gigitan anjing (anjing peliharaan atau anjing liar).

Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak dengan anjing liar dan jika anjing peliharaan didapati tidak sihat atau berkelakuan agresif dapatkan rawatan segera di klinik haiwan.

Laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar berdekatan serta laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal dan sentiasa menjaga tahap kebersihan diri. – MalaysiaGazette