Naib Presiden Jabatan Pemasaran Dan Jualan ASNB, Siti Norilah Shamsul Bahri bergambar bersama tetamu yang hadir pada seminar pembiayaian PNB di Menara PNB, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI 15 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Tidak membuat perancangan kewangan yang teliti semasa di awal usia membuatkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan cukup di hari persaraan.

Naib Presiden Jabatan Jualan dan Pemasaran Permodalan Nasional Bhd., Siti Norilah Shamsul Bahri memberitahu, antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pelabur amanah saham adalah mengeluarkan dividen setiap kali agihan pendapatan diumumkan.

“Jika kita lihat setiap kali agihan pendapatan dimasukkan ke dalam akaun pelabur seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), mereka berlumba-lumba untuk mengeluarkan dividen. Kadang-kadangkala sehingga beratur panjang.

“Sedangkan jika dividen tersebut “tidak diusik” ia akan menjana lebih banyak pelaburan dan seterusnya memberikan kompound pelaburan yang lebih tinggi kepada pelabur sendiri,” katanya semasa sidang media selepas menjadi speaker Seminar Pembiayaan ASNB di sini hari ini.

Jelasnya, Rule 72 (Peraturan 72) perlu menjadi rujukan pelabur untuk mendapatkan anggaran tempoh pelaburan mereka akan bertukar sekali ganda.

Rule 72 adalah jalan ringkas dalam teori pelaburan untuk memberi anggaran berapa tahun yang diperlukan untuk menggandakan sesuatu pelaburan tersebut.

Dengan membahagikan 72 dengan jumlah kadar faedah kompound tahunan, pelabur akan boleh menganggarkan tempoh yang diperlukan untuk mendapatkan pelaburan berganda.

Contoh: 72/ 7 (kadar faedah kompound tahunan)= 10.28 tahun

Ini bermakna seseorang pelabur yang membuat pelaburan dengan anggaran kadar faedah kompound tahunan sebanyak tujuh peratus memerlukan lebih kurang 10 tahun untuk menggandakan pelaburan mereka.

Justeru, menurut Siti Norilah, sekiranya pelaburan dilakukan secara konsisten sejak muda, tidak mustahil para pelabur-pelabur ASNB mampu menjadi jutawan semasa memasuki usia persaraan.

“Kompound ini dari segi istilah orang kampung, duit beranak.

“Jadi jika kita mahu menikmati duit beranak atau pulangan berganda yang banyak, kita perlu membuat simpanan yang lebih awal dan konsisten. Jangan bawa duit itu keluar-masuk dan jangan usik dividen dia.

“Jadikan ia sebagai pelaburan jangka panjang untuk kita nikmati pulangan berganda contohnya kita simpan untuk membayar deposit rumah atau mungkin menyimpan untuk hari tua.

“Dengan menggunakan rule 72, kita boleh buat anggaran berapa banyak wang yang kita ada pada satu-satu tempoh tertentu.

“Contohnya, jika pelaburan dibuat pada usia kurang 20 tahun, dengan menggunakan rule 72, seseorang pelabur itu mampu menikmati pulangan berganda sekurang-kurangnya empat kali sebelum usia persaraannya (dengan mengambil contoh anggaran pulangan kadar faedah kompound tahunan tujuh peratus) berbanding sekiranya mereka lewat merancang kewangan.

“Namun ini lebih baik daripada langsung tidak menyimpan,” katanya.

Menurut Siti Norilah, bukan jumlah yang menjadi ukuran sebaliknya konsistensi di dalam membuat pelaburan setiap bulan yang membolehkan pelabur menikmati pulangan yang baik dalam jangka masa panjang.

Katanya, ini boleh dilakukan dengan melakukan penyesuaian terhadap gaya hidup individu termasuk mengurangkan makan di luar, membeli kenderaan yang lebih murah berbanding kemampuan, mengurangkan perbelanjaan tidak perlu termasuk membeli gajet mahupun rokok.

“Duit yang dibelanjakan untuk membeli sekotak rokok berharga RM17 sehari atau minum di kafe-kafe boleh disimpan di dalam unit amanah.

“Begitu juga dengan kereta, jika kita mampu membayar ansuran kereta sebanyak RM800 sebulan, apa kata kita beli kereta yang ansuran bulanannya hanyalah RM400 manakala baki RM400 lagi boleh disimpan di unit amanah.

“Harga kereta jatuh setiap tahun tetapi pelaburan anda semakin bertambah serta diberikan dividen dan bonus setiap tahun. Ini sebenarnya lebih menguntungkan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette