rabies Selangor
Gambar hiasan

IPOH – Daerah kecil Matang diisytihar sebagai kawasan jangkitan rabies mulai hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pengisytiharan itu bagi membolehkan langkah-langkah pencegahan penularan wabak rabies diambil.

Sehubungan itu, penduduk di daerah itu tidak dibenarkan membawa anjing mereka keluar sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan.

“Walaupun hanya terdapat satu kes dan ia terpencil, kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan awal,” katanya di sini.

Menurut beliau, pihak berkuasa akan melakukan suntikan vaksin ke atas semua haiwan peliharaan dalam lingkungan satu kilometer.

Langkah itu diambil ekoran kematian seekor anjing selepas menggigit dua kanak-kanak, masing-masing berusia 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang pada 4 Julai lalu.

Semalam, Ketua Pnegarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, kedua-dua kanak-kanak terbabit telah diberi rawatan awal di klinik dan kini dimasukkan ke Hospital Taiping.

Anjing itu telah menunjukkan simptom rabies selepas menggigit kedua-dua mangsa dengan mengasingkan diri dan tidak mahu makan, mengalami demam dan kekejangan.

Haiwan itu kemudian diberi rawatan tetapi mati pada 12 Julai lalu.

Ujian yang dijalankan mendapati anjing itu positif rabies. – MalaysiaGazette