Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri) memakaikan pangkat baru kepada Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah / Terima Tugas Jawatan Pengarah Polis Diraja Malaysia Serta Pengerusi Perkep di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara mengesahkan sebuah kumpulan di selatan Thailand disyaki terlibat secara langsung terhadap kehilangan paderi Raymond Koh Keng Joo@ Pastor Koh sejak 13 Februari lalu.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis membuat kesimpulan tersebut hasil soal siasat ke atas empat suspek yang ditahan dalam operasi pada Jun lalu.

Katanya, empat suspek itu ditangkap selepas polis menembak mati seorang suspek utama kumpulan penculik dalam insiden yang membabil tembak menembak di Kampung Weng Dalam, Baling, Kedah pada 17 Jun lalu.

“Kita telah soal siasat tiga suspek yang ditangkap dan hasilnya kita mengesyaki bahawa kumpulan ini yang diketuai suspek utama ditembak itu terlibat secara langsung membawa lari Pastor Koh.

“Siasatan kami juga mendapati bahawa kumpulan ini mempunyai hubung kait dengan satu kumpulan lain di sebelah selatan Thailand,” katanya selepas majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan PDR / Pengerusi Perkep dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mess Pegawai Kanan hari ini.

Katanya, polis sedang bekerjasama dengan polis Thailand bagi meneruskan siasatan kehilangan Pastor Koh.

Ditanya sama ada Pastor Koh masih hidup, beliau berkata, pihaknya tidak boleh memberi sebarang kepastian mengenai perkara itu.

“Polis juga yakin seorang Ahli DAP yang mengadu kepada polis di Pattaya bahawa dia diugut beberapa orang di sana (Thailand) juga ada kaitan dengan kumpulan ini,” ujanya. – MalaysiaGazette