Sesi fotografi bersama penyanyi, Datuk Sheila Majid pada sidang media Konsert Datuk Sheila Majid di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2017.

KUALA LUMPUR  – Konsert ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid mencetuskan fenomena apabila jualan tiket mendapat sambutan amat menggalakkan selepas semua kategori habis dijual.

Persembahan mega diberi nama Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 itu akan berlangsung pada 5 Ogos ini di Stadium Negara.

Sebelum Ramadan lalu, dua kategori masing-masing bernilai RM888 dan RM388 terlebih awal habis selepas sebulan dibuka untuk jualan.

Sheila, 52, yang kini sibuk menjalani latihan bersama pemuzik di bawah pimpinan Mac Chew selaku pengarah muzik mengaku teruja dan bersyukur dengan sokongan berkenaan.

Sementara itu, wakil penganjur, Howard Kong, yang juga Pengarah Serantau IME Asia turut gembira dengan sambutan jualan tiket konsert terbabit memandangkan Sheila adalah artis Malaysia pertama yang mendapat tajaan mereka.

Kali terakhir penyanyi Sinaran ini mengadakan konsert di lokasi ikonik berkenaan adalah pada 1999 menerusi konsert Mega Tour 99 Sheila Majid. – MalaysiaGazette