KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza mencadangkan agar rakyat negara ini yang suka bergaduh pergi memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan dengan tentera Israel.

“Yang kuat gaduh tu patut hantaq pi Palestine baguih,” katanya ringkas melalui akaun Instagram miliknya sebagai respon kepada status yang dimuat naik oleh penyanyi dan komposer, Yassin Sulaiman.

Terdahulu, Yassin memuat naik laporan berita berkenaan pertembungan di antara Pemuda Parti Pribumi Bersatu (Armada) dan Pemuda UMNO Malaysia.

Insiden tersebut tercetus ekoran tindakan sekumpulan anggota Armada yang didakwa cuba melakukan provokasi ketika menghantar jemputan debat kepada Datuk Seri Najib Razak.

Kumpulan itu berarak dari pusat membeli belah, Sunway Putra menuju ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum dihalang oleh Pemuda UMNO sehingga berlaku tolak menolak dan perang mulut antara mereka.

Menurut Pemuda UMNO, salah seorang anggota Armada melalui akaun Facebooknya sebelum ini turut mengancam mahu menampar pipi Exco Pemuda, Armand Azha. – MalaysiaGazette