Hishamuddin Rais
Hishamuddin Rais

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin dapat memenangi dua per tiga kerusi pada PRU-14 jika parti itu bergantung sepenuhnya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini kerana, Pengerusi Parti Pribumi Persatu Malaysia (PPBM) itu secara terang-terangan tidak disukai golongan Gen-Y yang melabelnya sebagai seorang diktator sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga tahun 2003.

Seorang bekas penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM), Muhammad Harris Nasril berkata, majoriti golongan Gen-Y termasuk beliau masih menunggu keputusan PH mengumumkan siapa perdana menteri dari pembangkang.

Katanya, beliau dan rakan tidak menerima jawapan tepat sehingga kini, melainkan nama Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang disebut akan memegang jawatan nombor satu negara itu.

“Sampai sekarang tidak tahu siapa. PH kata nak lantik Dr. Wan Azizah sebagai perdana menteri sementara menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari penjara. Ini mengarut.

“Sebagai anak muda, golongan Gen-Y, kita nak tahu jawapan muktamad siapa perdana menteri PH sebab kita nak mengundi.

“Secara jujurnya pimpinan PH perlulah jawab persoalan ini. Kami nak tahu,” katanya dalam satu forum di sini baru-baru ini.

Forum berkenaan dihadiri aktivis politik pembangkang, Hishamuddin Rais dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Menurut Muhammad Harris, beliau terkilan apabila kepimpinan PH menerima kemasukan Mahathir dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk meraih sokongan undi.

Jelas beliau, Mahathir adalah diktator dari dahulu sampai sekarang dan wajarkah PH memerlukan seorang otoriter?

“Adakah PH mahu menggunakan model Barisan Nasional (BN)? Dan perlu ada big brother yang akan kontrol semua perjalanan parti?

“Mustahil dalam PH tidak ada seorang pun yang berwibawa sehingga memerlukan diktator seperti Dr Mahathir,” katanya.

Muhammad Harris menjelaskan, jika itu kehendak PH, beliau dan rakan Gen-Y berkeras akan menolaknya.

Kata Muhammad Harris, beliau masih ingat kata-kata Hishamuddin Rais sebelum ini bahawa musuh paling ketat pembangkang ialah Mahathir tetapi kenapa sekarang aktivis itu menerimanya. – MalaysiaGazette