Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Susulan peningkatan statistik jenayah seksual terhadap kanak-kanak, Pas menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan, usaha ke arah itu perlu disegerakan memandangkan jenayah seperti itu semakin tidak terkawal dan bertambah meruncing.

“Saya menyokong usaha kerajaan memperkenalkan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang bermula 4 Julai yang lalu.

“Ia sesuatu pendekatan yang wajar dilaksanakan. Memperkukuhkan institusi kehakiman adalah salah satu cara berhadapan dengan jenayah yang semakin berleluasa.

“(Ianya) sama seperti pendekatan memperkukuh institusi Mahkamah Syariah melalui pindaan Rang Undang-Undang Akta 355. Ironinya, ramai yang menentang disebabkan sentimen semata-mata,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kesalahan merogol kanak-kanak bagi tempoh 2010 sehingga Mei 2017 adalah berjumlah 13,272 kes diikuti 6,014 kes cabul, 1,766 kes sumbang mahram, dan 1,152 kes luar tabii.

Perkara itu dinyatakan Rohani di Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan pindaan terhadap Akta Kanak-Kanak dan penggubalan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak baru-baru ini.

Justeru menurut Nasrudin, penguatkuasaan undang-undang tanpa kawalan sosial yang kukuh sahaja tidak cukup untuk membanterasnya.

Ini kerana faktor sekeliling turut memainkan peranan yang menyumbang kepada aktiviti jenayah, katanya.

“Kawalan sosial dalam Islam bukan bersifat mengongkong tetapi suatu bentuk had dan batasan dalam sesuatu perkara.

“Pergaulan di antara berlainan jantina, etika pemakaian yang menutup aurat dan sopan, menjauhi perkara yang boleh menghampiri zina dan sebagainya.

“Isu jenayah khususnya jenayah seksual kanak-kanak perlu mendapat perhatian serius daripada semua pihak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.