Ketua UMNO Cawangan Bandar Tasik Selatan, Datuk Bashir Sardar Husin (tengah) beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Rumah Terbuka Anjuran UMNO Bandar Tasik Selatan. foto SAFWAN MANSOR, 28 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Cawangan UMNO Bandar Tasik Selatan menerima sesiapa sahaja yang akan disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang.

Menurut ketuanya, Datuk Bashir Mohd. Sardar Husin, pihaknya bersedia menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan malah sebulat suara akan menggerakkan jentera pilihan raya di parlimen itu.

“Saya menyokong penuh sesiapa sahaja yang yang dicalonkan dalam Parlimen Bandar Tun Razak asalkan dia daripada parti komponen BN,” katanya dalam majlis rumah terbuka malam tadi.

Hampir 7,000 penduduk sekitar Bandar Tasik Selatan hadir memeriahkan majlis yang diadakan di perkarangan rumah beliau.

Sebelum ini, Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dilaporkan berkata, peneraju BN itu yakin mampu untuk memenangi kerusi tersebut sekiranya diberikan mandat untuk meletakkan calon.

Keyakinan itu lahir daripada kemahuan akar umbi yang mahu UMNO bertanding di Bandar Tun Razak bagi menggantikan MCA yang gagal mencapai kemenangan pada PRU-13 lalu.

“Kita jangan sabotaj parti kerana ia tidak sihat. Kalau calon daripada MCA pun saya akan sokong sepenuhnya.

“Kalau UMNO letak Datuk Rizalman atau sesiapa juga, saya akan sokong. Walaupun (calon itu) bukan ahli politik, mahupun orang UMNO yang dilantik oleh pucuk pimpinan parti, kita akan sokong sepenuhnya,” katanya lagi.

Kerusi Bandar Tun Razak adalah milik tradisi MCA dengan meletakkan Tan Kok Eng sebagai calon pada PRU-13 lalu.

Bagaimanapun kerusi itu menjadi milik PKR apabila dimenangi oleh bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan majoriti 11, 832 undi dalam pertandingan empat penjuru antara BN, PKR dan dua calon Bebas. – MalaysiaGazette.