Mohamad Ezam Nor
Mohamad Ezam Nor

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Parti Bebas Rasuah, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor kini dilihat kembali mesra dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam satu acara di Pekan, Pahang hari ini, bekas Ketua Angkatan Muda PKR itu dilihat duduk semeja dengan Azmin sambil berbincang sesuatu dengan Ketua Penaja PPBM Pekan, Datuk Abd. Rahman Mohd Noor.

“The Pekan talk (perbulalan mengenai Pekan)….Saya bersama MB DS (Menteri Besar Datuk Seri) Azmin sedang mendengar penerangan status Pekan daripada Datuk Rahman Ketua Bersatu Pekan sebentar tadi..,” tulis Ezam dalam status Facebooknya hari ini.

Ezam menyepi seketika apabila mengumumkan penguduran dirinya selaku Presiden Parti Bebas Rasuah pada 5 Julai lalu setelah kecewa dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana tidak meluluskan pertukaran nama pertubuhan itu daripada Parti Generasi Baru menjadi Parti Bebas Rasuah.

Ia kali kelima untuk Ezam meninggalkan sesebuah parti politik sejak 1998.

Ezam pernah menyertai PPBM sebelum bertindak keluar daripada parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu pada Disember tahun lalu.

Hubungan antara Ezam dan Azmin retak pada 2007 apabila ada dakwaan bahawa pihak ketiga dari dalam dan luar PKR yang tidak senang dengan hubungan mereka berdua dan bertindak melaga-lagakan mereka bagi kepentingan pihak tertentu. – MalaysiaGazette.