MADRID – James Rodriguez yang baru mengesahkan perpindahannya ke Bayern Munich dilaporkan bercerai dengan isterinya, Daniela Ospina.

Danilea juga merupakan adik kepada penjaga gol Arsenal, David Ospina.

Bekas pemain Real Madrid berusia 26 tahun ini dikatakan sah bercerai selepas melengkapkan perpindahan beliau ke Bayern secara pinjaman selama dua tahun, dua minggu lalu.

Menurut laporan sebuah stesen radio Caracol di Columbia, pasangan itu membuat keputusan untuk menamatkan hubungan perkahwinan mereka selama enam tahun kerana merasa haluan mereka tidak lagi sama.

Namun laporan media di Colombia dan Sepanyol mendedahkan Rodriguez terlibat dalam cinta tiga segi bersama seorang model, Helga Lovekaty.

Laporan Marca memberitahu, hubungan cinta bersama Lovekaty itu merupakan punca utama untuk dia menamatkan perkahwinannya.

Dalam pada itu, kediaman pasangan itu di Medelin telah dijual manakala satu lagi unit hartanah di Miami telah menjadi milik Daniela.

Daniela akan mengambil hak penjagaan cahaya mata perempuan milik pasangan tersebut yang berusia empat tahun.

Keretakan perhubungan pasangan ini mulai dihidu selepas Daniela tidak kelihatan ketika Rodriguez diperkenalkan sebagai pemain Bayern Munich.

Daniela kemudiannya mengesahkan khabar angin itu melalui akaun Instagram miliknya, mengatakan dia dan Rodriguez berpisah dengan cara baik, dan keutamaan ialah kepada kebajikan anak perempuan mereka.

Di dalam gambar di Instagram tersebut, Daniela turut memuatkan kata-kata: “Daniela Ospina dan James Rodriguez, ibu bapa kepada Salome Rodriguez Ospina mengesahkan berpisah dari perkahwinan yang berusia enam tahun setengah”

Rodriguez menyertai Real Madrid daripada Monaco pada 2014 selepas melalui kempen Piala Dunia yang menakjubkan.

Bagaimanapun, pemian antarabangsa Columbia itu mendapati kehidupan di Madrid agak sukar dan beliau bukanlah pilihan utama kesebelasan utama Real yang dibarisi oleh deretan pemain bintang.

Keputusan menyertai Bayern  diambil untuk memastikan dirinya mempunyai lebih banyak peluang untuk beraksi. – MalaysiaGazette