Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Biarpun ada penyokong dalam Pakatan Harapan (PH) yang membantah pelantikan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH, namun ia adalah perkara biasa dalam dunia politik, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Katanya, ia adalah lumrah dunia politik apabila ada yang masih belum memahami perjuangan dan matlamat sebenar yang dipandu gabungan itu kini dalam menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 kelak.

“Mereka (penyokong) bebas untuk membuat pilihan. Tapi kalau kita buat satu keputusan politik, melahirkan PH dengan struktur kepimpinan sebegitu, maknanya kita dah sedia bergerak ke depan. Itu lebih penting,” katanya menurut laporan sebuah portal hari ini.

Ujarnya lagi, penyokong yang setia dengan gabungan itu pastinya tidak akan mempersoalkan hala tuju baharu PH yang kini bekerjasama dengan bekas perdana menteri itu yang jelas mahu menjatuhkan kerajaan BN.

Malah, penyokong pembangkang dinasihatkan agar memahami lebih mendalam tujuan penubuhan PH sebelum bertindak mengkritik keputusan pembangkang lebih-lebih lagi mengenai struktur kepimpinan sebagaimana yang baru diumumkan dua minggu lalu.

“Kalau kita bercakap tentang sejarah lampau, kita tak bergerak ke depan. Jadi saya takkan layan sebarang soalan berkaitan perkara lampau. Tumpuan sekarang adalah tawaran yang PH nak buat. Itu lebih penting,” katanya lagi.

Pembangkang Selasa lalu mengadakan Forum Mahathir Agen Perubahan atau Agen Pemusnah anjuran Kelab Bangsar Utama yang tiba-tiba kecoh apabila dua penyokong gabungan berkenaan mempersoalkan kewajaran PH melantik Dr. Mahathir sebagai Pengerusi gabungan terbabit.

Malah ada juga pemimpin pembangkang yang turut mempertikaikan jawatan yang diberikan kepada Dr. Mahathir.

Antaranya, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvam membidas Hishamuddin Rais, salah seorang ahli panel, menyokong kehadiran Dr Mahathir dalam PH. – MalaysiaGazette