A.Chandrakumanan

KUALA LUMPUR –  Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (PAR) memberi amaran kepada pemimpin PKR Sarawak, Baru Bian supaya tidak menghasut penduduk Sabah dan Sarawak mengenai mengapa Tan Sri Richard Malanjum tidak dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Presidennya, Datuk A. Chandrakumanan berkata, taktik kotor yang digunakan Baru Bian adalah sangat bahaya dan boleh mengancam perpaduan negara.

Bekas pemimpin myPPP itu turut memberi amaran bahawa tindakan Baru Bian akan mencetus masalah besar kepada Sabah dan Sarawak daripada segi hubungan yang terjalin dengan Semenanjung sejak berdekad lalu.

“Pemimpin PKR ini (Baru Bian) tidak ada hak untuk mempersoalkan pelantikan Ketua Hakim Negara yang merupakan budi bicara baginda Yang Di-Pertuan Agong.

“Jika Baru Bian mendakwa Tan Sri Richard telah diketepikan, apakah ia sama mencabar dan mempersoalkan kuasa YDPA seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?,” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat segera kenyataan yang dikeluarkan Baru Bian memandangkan ia sangat bahaya dan boleh mengugat keharmonian membawa ketegangan.

“Dia perlu disiasat kerana mempersoalkan hak berperlembagaan YDPA kita,” katanya. – MalaysiaGazette