Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Tidak berpuas hati dengan pendedahan kad pengenalan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, satu laporan polis oleh DAP dibuat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Biro Guaman DAP, Gobind Singh Deo mempertahankan Dr Mahathir dengan menyifatkan tindakan Ahmad Zahid sebagai keterlaluan dan mengaibkan.

“Kenyataan oleh Menteri Dalam Negeri ke atas Dr Mahathir semalam adalah mengaibkan sangat.

“Tindakan Menteri Dalam Negeri yang tidak matang perlu dikecam,” kata Gobind dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Menurut Gobind, satu laporan polis juga dibuat ke atas Ahmad Zahid yang dilakukan oleh seorang ahli DAP, Zulhazmi Shariff di Balai Polis Dang Wangi.

“Beliau perlu menghadapi siasatan yang wajar terhadap tindakannya menggunakan maklumat awam yang diberikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam majlis politik,” katanya.

Ahmad Zahid semalam menyindir Dr Mahathir yang mengiibaratkan beliau sebagai ‘habis madu, sepah dibuang.’

Justeru katanya, ungkapan Melayu mudah lupa memang sesuai untuk digandingkan dengan Dr Mahathir yang sanggup bersengkongkol dengan pembangkang dalam menjatuhkan kerajaan yang pernah dipimpin beliau selama 22 tahun selama ini.

“Orang yang lama mempimpin kita adalah sering ungkapkan Melayu mudah lupa, tetapi ini adalah kad pengenalan beliau.

“Nama beliau adalah Mahathir Anak Lelaki Iskandar Kutty. No kad pengenalan biru beliau adalah 2232518. Ini yang diberikan Ketua Pengarah JPN kepada saya.

“Orang itulah yang memperjuangkan aliran Melayu dan mempergunakan Melayu. Bila habis madu sepah dibuang. UMNO sebagai madu dan kita sebagai sepahnya,” katanya dalam ucapan penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya semalam. – MalaysiaGazette