Home Ekonomi Tiada latar belakang perakaunan, TEKUN rugi RM209.28j

Tiada latar belakang perakaunan, TEKUN rugi RM209.28j

KUALA LUMPUR – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) merekodkan kerugian terkumpul sebanyak RM209.28 juta pada khir tahun 2015 disebabkan kegagalan pembayaran balik pinjaman.

Laporan Jabatan Audit Negara berkata, TEKUN memperoleh pembiayaan melalui pinjaman dan geran daripada kerajaan dari 1998 hingga bulan Jun 2016 melalui Kementerian Kewangan berjumlah RM1.86 bilion.

Selain itu geran Kementerian Pertanian dan Industeri Asas Tani (MOA) berjumlah RM670 juta bagi tujuan Pakej Rangsangan Ekonomi, bantuan kepada mangsa banjir dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India.

TEKUN juga melaksanakan program khas di mana dana disalurkan oleh Kerajaan Negeri/Agensi berjumlah RM157.77 juta.

Bagaimanapun, prestasi kewangan TEKUN bagi tahun 2013 hingga 2015 adalah kurang memuaskan kerana bebanan hutang kepada kerajaan dan hapus kira hutang lapuk usahawan yang tinggi.

Laporan itu berkata, TEKUN tidak menjalankan kajian menyeluruh untuk menilai keberkesanan penggunaan dana oleh usahawan dalam memulakan dan mengembangkan perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka yang diberi bantuan pembiayaan.

Malah, peratusan kutipan bayaran balik pembiayaan berbanding sasaran adalah antara
78.1 peratus hingga 96.9 peratus.

Hutang tidak berbayar berada pada tahap 38 peratus (RM769.34 juta) daripada jumlah keseluruhan tunggakan bayaran balik pembiayaan iaitu RM2.02 bilion sehingga 30 Jun 2016.

Jumlah hutang lapuk yang telah dihapus kira pula adalah berjumlah RM410.61 juta (9.6 peratus) daripada jumlah keseluruhan pembiayaan dan bayaran balik yang berjaya dikutip semula adalah berjumlah RM74.63 juta (18.2 peratus).

Tambahnya, sasaran tempoh masa dan pengeluaran yang perlu dicapai bagi enam Program Khas Pembangunan Usahawan tidak ditetapkan.

Skim Jaminan Kredit TEKUN gagal mencapai objektif kerana kurang sambutan daripada syarikat pembekal.

Bagi Program Mentor Mentee pula, Jawatankuasa Program Bersama tidak diwujudkan dan
Laporan Bulanan Program tidak dikemukakan oleh tiga syarikat mentor tersebut.

Kegagalan pelaksanaan Portal Keusahawanan TEKUN, Kad Komuniti Usahawan TEKUN dan Cyber Mall menyebabkan kerugian berjumlah RM872,035 dan keahlian Jawatankuasa Audit, Integriti dan Risiko tidak mempunyai latar belakang perakaunan.

Selain itu, terdapat tadbir urus korporat yang melibatkan pengurusan kewangan yang tidak teratur.

Pada keseluruhannya, TEKUN telah memberi pembiayaan kepada seramai 473,982 usahawan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.29 bilion sehingga 30 Jun 2016.

Setiap usahawan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak 4.0 peratus pada amaun
pembiayaan. dan kutipan bayaran balik pembiayaan daripada usahawan adalah berjumlah
RM2.71 bilion (63.2 peratys) untuk tempoh yang sama. – MalaysiaGazette