Zanirun Baba (tengah) dalam sidang media GAH di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Gerakan Aktivis Harapan (GAH) mendesak pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak berterusan mewujudkan kekeliruan sesama sendiri berhubung isu-isu yang berlaku didalam parti.

Jurucakap GAH, Zanirun Baba berkata, masyarakat mahu melihat tindakan lebih bermaruah oleh pemimpin PH atas sikap menteri besar yang mahu mengadakan kerjasama kukuh di dalam parti lebih-lebih lagi dalam kalangan pimpinan tertinggi.

“Bahawasanya sekarang ini GAH melihat adanya elemen-elemen yang akan dan telah pun merosakkan PH.

“Perkara ini dilihat bakal menjadi barah kepada PH. Ada pemimpin yang memperlihatkan sikapnya enggan memperkukuhkan PH sehingga terbit kata nama kartel mewakili kelompok parasit di dalam salah satu komponennya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama namun kenyataan GAH itu dilihat menjurus kepada Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Zanirun mendakwa, mereka yang terlibat telah membentuk proksi sendiri bukan sahaja di Selangor malah di beberapa negeri dengan mengangkat diri sendiri dan berpura-pura mendakwa diri sebagai juara.

Akibatnya jelas beliau, mereka itu cuba membentuk persepsi bahawa istana yang mencampuri dan menghalang tindakan politik sedang mereka sendiri yang mewujudkan bayangan perdana menteri dalam kalangan mereka selain cuba membawa dakyah dan permusuhan antara komponen dalam PH.

Justeru kata beliau, pimpinan tidak boleh ada hubungan rasmi atau tidak rasmi dengan mana-mana parti di luar PH tanpa mendapat persetujuan rasmi daripada Majlis Presiden PH selepas ini.

Tegasnya, tidak ada lagi kondisi bersetuju untuk tidak bersetuju di dalam PH yang menjadikan semua pimpinan termasuklah menteri besar, ketua menteri harus patuh kepada keputusan konsensus PH.

Ujarnya, menteri besar mahu pun ketua menteri seharusnya tidak mendahului keputusan parti dan Majlis Presiden PH dan sebarang persembahan bagi urusan pentadbiran dalam hal-hal mempunyai kepentingan terhadap PH kepada Yang Dipertuan Agong, sultan atau Dipertua Negeri haruslah diiringi oleh presiden dan timbalan-timbalan presiden PH.

Tambahnya, menteri besar mahu pun ketua menteri yang membelakangi keputusan Majlis Presiden PH harus dikenakan tindakan di dalam parti masing-masing dengan segera.

Katanya lagi, dalam hal berkaitan PRU-14, naib-naib presiden PH tidak boleh mempunyai kapasiti di dalam parti masing-masing untuk menentukan calon selepas dimuktamadkan kerusi yang mahu ditandingi.

“Oleh yang demikian watikah calon bagi mewakili parti hanya boleh ditandatangani oleh Presiden PH atau melalui konsensus Presiden dan Timbalan Presiden PH,” ujarnya. – MalaysiaGazette